Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan celah cabar kesahihan sekolah Cina pada 9 Mac

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 9 Mac depan bagi mendengar permohonan pencelah dan pengurusan kes berhubung tindakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) yang mencabar kesahihan sekolah vernakular.

Peguam yang mewakili badan NGO itu, Aidil Khalid, berkata dua isu yang akan didengar di hadapan hakim pada tarikh berkenaan.

"Iaitu perbincaraan untuk permohonan pencelah dan untuk pengurusan kes di hadapan Yang Arif.

"Juga pendegaran bagi Jabatan Peguam Negara yang memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes sementara," katanya ketika ditemui ketika pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Aidil berkata, Jabatan Peguam Negara ingin memohon penangguhkan perbicaraan sementara bagi memberi fokus kepada kes yang dikendalikan mereka ketika ini.

Pada 16 Disember lalu, GPMS dan Mappim yang memfailkan cabaran baru terhadap kesahihan sekolah vernakular, melantik Haniff Khatri Abdulla sebagai peguam utama kes saman itu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai peguam kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua NGO itu memohon perisytiharan mahkamah bahawa kewujudan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak sah di sisi perlembagaan.

Selanjutnya, saman itu juga mahu kementerian pendidikan dan kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah untuk memastikan sekolah vernakular mematuhi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh enam bulan keputusan mahkamah, jika ia memihak kepada mereka.

Turut berada di kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini ialah bekas timbalan menteri pendidikan, P Kamalanathan pada sesi pengurusan kes berkenaan.

Beliau memaklumkan MIC sebagai salah satu pencelah dalam kes berkenaan telah melantik peguam bagi mewakili parti itu dalam kes berkenaan.

Sementara itu, peguam pencelah bagi Persatuan Tamizhar Sanggam, Savarasthy Kandasami memaklumkan lapan pencelah akan terbabit dalam prosiding yang ditetapkan 9 Mac itu nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS