Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UM: Kolej kediaman bukan pusat kuarantin Covid-19
Diterbitkan:  Feb 16, 2020 9:46 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Universiti Malaysia (UM) menafikan dakwaan beberapa kumpulan mahasiswa bahawa ia telah gagal menguruskan proses pengasingan pelajar yang kembali dari China susulan penyebaran wabak Covid-19 di negara itu.

UM dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa tidak ada pengasingan di universiti itu dan pelajar yang pulang hanya ditempatkan di Kolej Kediaman Ke-10 (KK10) yang berfungsi sebagai tempat pengawasan berpusat.

"Kami tegaskan bahawa para pelajar yang diwajibkan melalui prosedur ini adalah individu sihat yang tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda tetapi perlu melakukan pengawasan kesihatan sendiri untuk tempoh 14 hari dari tarikh kepulangan mereka.

"Justeru, tiada keperluan untuk mereka diasingkan dan mereka wajar dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti di dalam kawasan KK10 secara bersama, selagi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda.

Menurut UM, prosedur pengawasan terpusat yang dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) ini adalah berdasarkan protokol yang dirangka selari dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia oleh sekumpulan anggota dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

Jelas universiti itu, pengawasan terpusat adalah bagi memudahkan siswa terbabit melakukan proses pengawasan tersebut dan sekiranya ada para pelajar terbabit yang mengalami sebarang simptom.

Keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan Universiti Malaya di bawah Klinik Kesihatan Pelajar yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.

Sementara itu, para sukarelawan di pusat pengawasan itu telah diberikan taklimat sewajarnya.

"UM komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus yang lain tidak akan terkompromi oleh perlaksanaan prosedur ini.

"Universiti juga akan memperkemas dan menambahbaik protokol berhubung perkara ini setiap kali perlu," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS