Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai MPSJ dalam video pergaduhan digantung tugas penguatkuasaan
Diterbitkan:  Feb 14, 2020 7:02 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Kemaskini: Pegawai MPSJ dan lelaki berkenaan mengadakan pertemuan bersama-sama Adun Subang Jaya, Michelle Ng Sze Mei, yang memaklumkan kedua-dua pihak setuju untuk berdamai.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menggantung tugas penguatkuasaan seorang pegawainya yang dirakam terlibat dalam pergaduhan dengan seorang warga emas, dalam video yang tular baru-baru ini.

Yang Dipertua MPSJ Noraini Roslan berkata, ia sementara siasatan dalaman terhadap insiden itu dijalankan.

"MPSJ akan menarik anggota tersebut dari melaksanakan tugas penguatkuasaan sementara siasatan dijalankan. Siasatan dalaman yang adil dan terperinci akan dibuat serta-merta," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman FB MPSJ, hari ini.

Mengulas insiden itu yang mula tular semalam, Noraini berkata kesalahan trafik yang dilakukan warga emas tersebut dan kesalahan memukul oleh pegawai tersebut adalah jelas.

"Pada masa sama, pihak MPS memandang serius insiden tindak balas oleh anggota penguatkuasaan tersebut," katanya lagi.

Dalam video berdurasi 41 saat itu, pertelingkahan tercetus antara pegawai MPSJ dan seorang lelaki, dianggarkan berusia antara 50 hingga 55 tahun, selepas keretanya ingin ditunda pegawai terbabit.'

Lelaki itu kemudian memukul pegawai tersebut dengan payungnya. Pegawai itu bertindak balas dengan memukul dan menolak lelaki itu sehingga jatuh ke jalan.

Lelaki itu dilihat terbaring dengan luka di kepala. Beberapa orang yang berada di situ dilihat membantunya dan meleraikan keadaan.

 

Terdahulu, Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata pegawai tersebut harus meminta maaf kepada lelaki tersebut.

"Walaupun tindakan lelaki itu memukulnya denan menggunakan payung adalah tidak betul, namun pegawai penguatkuasa itu tidak wajar membalas dengan kekasaran melampau," katanya.

Beliau juga menggesa MPSJ "memperbetulkan situasi" dengan lelaki itu, selain memastikan semua pegawai penguatkuasa dilatih untuk berdepan keadaan yang tegang.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) mempertahankan pegawai tersebut yang menurutnya mempertahankan dirinya.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, insiden itu tidak akan berlaku jika orang awam memahami tugas penjawat awam dan menerima tindakan yang dikenakan terhadap mereka apabila melanggar undang-undang.

"Dalam mempertahankan diri dari serangan tersebut, anggota berkenaan terpaksa melindungi diri daripada risiko kecederaan yang bakal ditanggung sewaktu kejadian," katanya dalam kenyataan.

Adnan juga berkata anggota kerajaan, anggota parlimen dan adun perlu melihat insiden itu dengan lebih adil, dan tidak menghukum penjawat awam dan penguatkuasa dan melihatnya atas "kepentingan satu pihak sahaja".

Beliau bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama secara khusus dalam kritikannya itu.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Shahir Adnan turut menyurakan sentimen sama, dengan berkata Ng perlu bersikap adil terhadap penjawat awam yang "dikasari oleh orang awam".

"Beliau seharusnya tidak menjatuhkan hukuman di media dengan menggesa penguatkuasa itu meminta maaf kepada penyerangnya.

"Siasatan harus dilakukan oleh pihak berkuasa...Individu yang disabitkan kesalahan wajib meminta maaf dan insaf agar tidak mengulanginya," katanya dalam kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS