mk-logo
Berita
Tahap kebersihan majoriti pasar awam cuma 40 % - Menteri

Tahap kebersihan majoriti pasar awam di Malaysia adalah sekitar 40 peratus, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Justeru, beliau menyeru peniaga dan pelanggan yang mengunjungi mana-mana premis berkenaan agar dapat mengubah sikap dan tabiat yang suka membuang sampah merata-rata.

"Saya harap Pasar Siti Sarah ini dapat bermula dengan betul agar kita dapat mengekalkan tahap kebersihan pasar ini. Kalau pasar lama mungkin kita sukar nak perbetulkan.

"Semoga Pasar Siti Sarah ini boleh menjadi perintis kepada tahap kebersihan pasar-pasar lain selepas ini," katanya selepas merasmikan Pasar Siti Sarah di Selising di Pasir Puteh, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Zuraida berkata pasar yang dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) itu menelan belanja sebanyak RM4.13 juta membabitkan pembinaan satu blok pasar satu tingkat, satu blok surau, satu blok tandas selain dilengkapi pondok pengawal dan rumah sampah.

Beliau berkata projek berkenaan bermula pada 2017 dan siap sepenuhnya pada 25 Sept tahun lepas dan mengambil masa selama 19 bulan untuk disiapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang mengkaji untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membina pasar kering di Pasar Siti Hajar di bandar Pasir Puteh.

"Selain itu, KPKT juga akan membina Pasar Awam Binjai di Kota Bharu pada tahun ini dengan kos dianggarkan bernilai RM5 juta," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS