Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIDF Research jangka ekonomi M'sia tumbuh 4.5 peratus tahun ini

MIDF Research mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk berkembang pada 4.5 peratus pada tahun ini disumbangkan oleh kestabilan permintaan domestik dan pemulihan bagi sektor perlombongan dan pembinaan.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun sektor perlombongan kekal dalam lingkungan negatif bagi suku keempat 2019, sektor itu telah menunjukkan beberapa penambahbaikan dan dijangka terus pulih pada tahun ini kerana impak yang berkurangan daripada pengagihan penawaran.

“Tambahan pula, Petroliam Nasional Bhd mengumumkan unit Fasiliti Terapung Gas Asli Cecair Petronas-2 (PFLNG - 2) dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun ini, sekali gus memberikan dorongan kepada sektor perlombongan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata harga komoditi yang meningkat secara beransur-ansur akan mengukuhkan penjualan minyak mentah dan gas asli di luar negara, selain minyak sawit pada tahun ini.

Sementara itu, pengurangan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Januari dan pakej rangsangan kerajaan yang disarankan dijangka meningkatkan permintaan domestik.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata penularan Covid-19 berkemungkinan mewujudkan impak negatif terhadap kedatangan pelancong tetapi hanya bersifat sementara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS