Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada muslihat licik tapi Dr M tak terlibat, kata Anwar
Diterbitkan:  Feb 13, 2020 5:50 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga habis penggal, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR, yang dijanjikan sebagai perdana menteri kelapan, berkata demikian selepas bertemu dengan Mahathir bagi membincangkan isu mengenai peralihan kuasa.

“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,” katanya.

Sarawak Report minggu ini mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.

Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik "khabar angin" bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Dalam kenyataan petang ini, Anwar berkata beliau cenderung agar Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.

“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini,” katanya.

Anwar juga berkata beliau memaklumkan kepada Mahathir terdapat “muslihat licik” dan pimpinan PH mempertahahan perjanjian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh dan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

“Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS