Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia hari ini menjelaskan hasil siasatan berhubung kes dakwaan anjing yang dihantar ke Australia berasal dari China tidak benar.
DVS juga mengesahkan kesahihan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang digunakan bagi kes berkenaan.
"Bagi kes yang disyaki pemalsuan SKV didapati SKV yang telah dikeluarkan adalah asli dan anjing yang dieksport ke Australia adalah yang telah menetap di Pulau Pinang, Malaysia sejak Januari 2019 serta mengikut rekod tiada pergerakan menunjukkan anjing tersebut keluar dan masuk dari negara China," kata DVS dalam kenyataan media hari ini.
DVS memaklumkan perkara itu sebagai respons kepada permohonan Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar Australia menyisat perkara itu.
Australia sebelum ini menggantung import kucing dan anjing dari Malaysia kerana kebimbangan mengenai "risiko biosekuriti yang serius".
Penggantungan itu berkuat kuasa mulai 5 Feb.
Sementara itu, JPV Malaysia menjelaskan bahawa Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar Australia pada 24 Jan lalu turut memohon pihak mereka menyiasat lima permohonan pengeksportan anjing dari Malaysia yang didakwa tidak menepati syarat.
"Daripada lima permohonan pengeksportan tersebut, JPV hanya mengeluarkan satu SKV namun SKV tersebut tidak digunakan kerana anjing yang hendak dieksport telah mati.
"Baki empat permohonan yang lain masih dalam siasatan," kata kenyataan itu.
JPV menjelaskan terdapat tiga ejen pengeksportan di Malaysia yang terlibat di dalam kes berkenaan dan segala permohonan pengeksportan ejen berkenaan dihentikan buat masa ini sehingga dimaklumkan.
Selain itu, tambah JPV, pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia MAQIS akan membuat siasatan lanjut berhubung permohonan mengeksport anjing dan kucing ke Australia.
Siasatan berkenaan merangkumi termasuk kesahihan SKV, pematuhan syarat pengimportan, sijil amalan terkini doktor veterinar, serta pendaftaran klinik veterinar.
"Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan.
"Hasil siasatan (akhir) akan dikemukakan kepada Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar Australia sebelum 28 Februari 2020," katanya.