Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jeneral Mohamed Hashim Mohd Ali, yang merupakan adik kepada isteri perdana menteri Siti Hasmah Mohd Ali hadir memberikan keterangan dalam kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamed Hashim, yang merupakan pengerusi serta pemegang saham Datasonic Group Berhad (DGB), hadir sebagai saksi ke-29 perbicaraan untuk kes rasuah Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pernyataan saksinya, Hashim menyatakan bahawa beliau ada beberapa kali menandatangani surat kepada Najib Razak yang merupakan perdana menteri merangkap menteri kewangan ketika itu, serta Ahmad Zahid selaku menteri dalam negeri ketika itu.

Antaranya, surat kepada Ahmad Zahid pada 2014 bagi memaklumkan bahawa DGB berminat untuk mendapatkan projek pembekalan cip pasport Malaysia antarabangsa (PMA) berserta cadangan daripada DGB yang dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM75 juta bagi tempoh lima tahun.

Dia juga menandatangani satu lagi surat ditujukan buat Ahmad Zahid untuk mendapatkan surat setuju terima daripada kerajaan berkenaan dengan pembekalan cip pasport selama lima tahun, iaitu sebanyak 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate PMA.

Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pemeriksaan utama oleh pasukan pendakwaan akan disambung petang nanti.

Semasa pemeriksaan balas, Hashim bersetuju dengan cadangan peguam bela Ahmad Zaidi Zainal bahawa kontrak terbabit bukanlah kontrak baru, sebaliknya hanyalah kontrak "yang dilanjutkan".

Untuk rekod, sebelum itu, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) dianugerahkan kontrak pembekalan pasport bersama dengan dua lagi syarikat iaitu Iris dan Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN).

Hashim turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa meskipun kontrak itu "dipanjangkan" semasa Ahmad Zahid menjadi menteri dalam negeri, penganugerahan kontrak asal (pada 2012) berlaku sejak sebelum beliau menjadi menteri kementerian itu lagi.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, Hashim menyifatkan persetujuannya bahawa kontrak DTSB "dilanjutkan" hanyalah merupakan pandangan peribadinya.

"Ini tafsiran peribadi, (bahawa) satu lanjutan kontrak.

"[...] Mungkin kita tanya kementerian kewangan sama ada ini kontrak baru atau sambungan," katanya lagi, memandangkan kementerian kewanganlah bertanggungjawab meluluskan kontrak melalui rundingan terus seperti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS