Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan kajian hukuman mati mandatori dibentang kepada kerajaan

Jawatankuasa khas bagi mengkaji hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori membentangkan hasil kajian mereka yang mengandungi beberapa cadangan berhubung perkara itu kepada kerajaan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata bekas Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum, membentangkan hasil kajian yang amat komprehensif, mengandungi laporan setebal 128 muka surat kepada beliau.

“Pejabat saya sedang mengkaji kandungan laporan rasmi itu serta cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa khas ini.

"Dalam beberapa minggu yang akan datang, satu kertas jemaah menteri mengenai hasil kajian jawatankuasa khas ini serta cadangan-cadangannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

“Semua tindakan dan keputusan lanjut mengenai laporan rasmi itu serta cadangan-cadangan di dalamnya akan diambil berlandaskan keputusan kolektif Jemaah Menteri berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Liew berkata jawatankuasa khas itu mengadakan pelbagai sesi libat urus di seluruh negara bersama segmen masyarakat yang berbeza dalam tempoh empat bulan sejak ia memulakan kajian pada 20 Sept lepas.

Antara pihak yang terbabit, katanya, ialah agensi-agensi penguatkuasaan dan kerajaan, kumpulan keagamaan, keluarga banduan yang akan menjalani hukuman mati, anggota keluarga mereka dan ahli parlimen kerajaan serta pembangkang.

“Pakar-pakar antarabangsa di seluruh dunia termasuk dari Universiti Oxford dan Cambridge di United Kingdom turut memberikan pendapat mereka,” menurut kenyataan itu.

“Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada jawatankuasa khas ini atas usaha cemerlang mereka dalam mengkaji hukuman-hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori. Ia bukannya sesuatu yang mudah dilakukan,” katanya.

Liew berkata laporan rasmi itu adalah kajian penting yang mempunyai keupayaan untuk mengubah keseluruhan landskap dasar negara berhubung hukuman jenayah selaras dengan usaha kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori di Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS