Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir kaitkan Rosmah sebab nak elak didakwa rasuah - Peguam

Bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid diasak dengan soalan bahawa beliau membuat perjanjian untuk mengaitkan Rosmah Mansor dengan kes projek solar hibrid bagi mengelakkan dirinya didakwa dengan rasuah.

Ketika pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan itu, peguam utama, Jagjit Singh bertanya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan Mahdzir bahawa beliau akan dikenakan pertuduhan apabila suruhanjaya itu menyoalnya pada 2018 berhubung projek hibrid solar oleh Kementerian Pendidikan.

Mahdzir menegaskan bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Jagjit mencadangkan bahawa setelah mengetahui beliau akan diheret ke mahkamah, Mahdzir telah melantik orang tengah untuk berunding dengan pasukan pendakwaan.

"Kamu melantik Datuk Vignesh (nama penuh tidak didedahkan) untuk mendapatkan SPRM agar tidak mengenakan pertuduhan dan (sebagai pertukaran) kamu akan menjadi saksi untuk mengaitkan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak dan (isterinya) Rosmah, dan bahawa kamu akan menandatangani apa-apa dokumen (untuk mengaitkan mereka),"katanya.

Jagjit juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa SPRM mempunyai bukti kukuh terhadap Mahdzir dan bekas menteri itu kemudian mengaturkan surat untuk merundingkan perjanjian.

Bagaimanapun, Mahdzir tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib membantah soalan-soalan dikemukakan Jagjit dan bertanya jika pihak pembelaan akan memanggil saksi-saksi untuk menyokong tuduhan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian berkata beliau akan membenarkan pihak pembelaan dengan kelonggaran tertentu tetapi menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan adil kepada saksi.

Rosmah menghadapi tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada Jepak Holdings sebagai pertukaran mendapatkan kontrak daripada Kementerian Pendidikan.

Kontrak berkenaan bagi pembekalan sistem solar hibrid kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta suapan, iaitu 15 peratus daripada nilai projek solar hibrid daripada Jepak untuk membantu mereka mendapatkan kontrak kerajaan di sebuah kafe.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah dituduh menerima RM1.5 juta daripada pengarah urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin di rumahnya di Jalan Langgak Duta.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima RM5 juta daripada Saidi di rumahnya di Jalan Langgak Duta.

Mahdzir semalam memberi keterangan bahawa beliau dipaksa oleh bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor, Najib dan wakil Jepak untuk memberikan kontrak projek hibrid solar.

Bagaimanapun, Jagjit menuduh Mahdzir mendapat manfaat daripada tuduhan rasuah terhadap Jepak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS