Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam Rosmah kata bekas menteri paling tadah untuk elak dakwaan

KES ROSMAH l Pasukan pembelaan Rosmah Mansor hari ini mengasak bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dengan mencadangkan bahawa dia membuat perjanjian untuk mengaitkan isteri Najib Razak agar dirinya terlepas daripada sebarang dakwaan rasuah.

Mahdzir hari ini menyambung keterangannnya sebagai saksi pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan rasuah isteri bekas perdana menteri itu.

Semasa pemeriksaan balas, peguam bela utama Jagjit Singh menyoalnya sama ada dirinya dimaklumkan oleh SPRM bahawa dia akan didakwa selepas disiasat oleh suruhanjaya itu pada akhir 2018 mengenai projek hibrid solar kementerian pelajaran.

Mahdzir berkata bahawa dia tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi Jagjit terus mencadangkan bahawa apabila mengetahui bahawa dirinya akan dikenakan, Mahdzir telah berunding dengan pasukan pendakwa.

"Kamu lantik Datuk Vignesh untuk memastikan SPRM tidak akan mendakwa kamu dan (sebagai balasan) kamu menjadi saksi utama untuk mengaitkan (bekas perdana menteri) Najib Razak dan (isterinya) Rosmah, dan kamu sanggup menandatangani apa-apa dokumen (untuk mengaitkan mereka)," katanya.

Jagjit juga mendakwa bahawa SPRM telah menemui bukti terhadap Mahdzir dan bekas menteri itu didakwa mengatur surat perwakilan untuk berunding.

Walau bagaimanapun, Mahdzir tidak bersetuju dengan semua cadangan Jagjit.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mempersoalkan cara soalan Jagjit, dan menyatakan bahawa pendakwaan hanya akan bersetuju jika ia berasas dan menyoal sama ada jika pihak pembelaan akan memanggil saksi untuk menyokong dakwaan tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian berkata beliau akan memberi sedikit kelonggaran kepada pihak pembelaaan tetapi menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan adil kepada saksi.

Rosmah berdepan tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah dari Jepak Holdings sebagai habuan mendapatkan kontrak dari Kementerian Pelajaran.

Kontrak ini membabitkan bekalan sistem hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS