Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-4: Peguam: Mahdzir tidak berbincang di kabinet kerana dia korup

LANGSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap bekas isteri perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, melibatkan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bersambung di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


2 petang: Prosiding hari ini ditangguhkan dan akan bersambung pagi esok.


Peguam: Mahdzir tidak berbincang di kabinet kerana dia korup

1.30 petang: Peguam bela Jagjit Singh sekali lagi menuduh saksi pendakwaan Mahdzir Khalid, sebagai bekas menteri pendidikan, yang korup.

Kali ini, tuduhan dibuat semasa menyoal naib presiden Umno itu sama ada dia pernah membawa isu projek solar hibrid ke kabinet untuk perbincangan, semasa perdana menteri ketika itu, Najib Razak mahu dirinya mengeluarkan surat tawaran kepada Jepak Holdings.

Mahkamah sebelum in dimaklumkan bahawa Mahdzir tidak bersetuju, tetapi memberi keterangan bahawa dia melakukannya atas arahan Najib untuk berbuat demikian pada November 2016.

Mahdzir kemudian menjawab dalam negatif, dengan mengatakan bahawa tidak perlu membawa perkara itu kepada kabinet.

Jagjit kemudian mencadangkan kepada Mahdzir bahawa dia tidak berbuat demikian kerana malu untuk membawa perkara berkenaan kepada kabinet.

Jagjit: Apabila kamu beritahu perdana menteri, dan PM meminitkan kepada kamu seperti itu, adakah kamu sebagai menteri membawa perkara ini ke kabinet?

Mahdzir: Tidak. Tidak perlu membawanya ke kabinet.

Jagjit: Adakah kamu membawanya atau tidak ke kabinet?

Mahdzir: Tidak, saya tidak (bawa).

Jagjit: Kamu kata tidak perlu, kerana kamu telah makan rasuah. Itulah sebabnya tidak perlu melakukan itu. Kamu rasa malu jika membawanya ke kabinet.

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.


Peguambela, Mahdzir bertikam lidah mengenai 'ikut arahan’

1.20 petang: Prosiding menyaksikan peguam bela utama Jagjit Singh dan saksi pendakwaan Mahdzir Khalid bertikam lidah berhubung keterangan bekas menteri pendidikan itu yang mengatakan dia hanya mengikuti arahan perdana menteri Najib Razak ketika mengeluarkan surat tawaran kepada Jepak Holdings pada tahun 2016.

Ini susulan tindakan Jagjit yang mengasak soalan demi soalan kepada Mahdzir mengenai sama ada dia harus menerima arahan daripada Najib tanpa mematuhi peraturan dan prosedur kerajaan yang sedia ada.

Memandangkan Mahdzir terus menjawab bahawa dia hanya "mengikuti arahan", Jagjit terus menekannya atas keperluan prosedur.

Jagjit: Walaupun beliau (Najib) mempunyai hak untuk mengeluarkan surat itu, haknya tertakluk kepada peraturan.

Mahdzir: PM beri arahan kepada saya.

Jagjit: Dan kita mesti ikut kedua-dua iaitu arahan dan peraturan?

Mahdzir: Kita hanya ikut arahan PM.

Jagjit: (Ikut arahan) dan mesti juga ikut prosedur dan peraturan. Adakah kamu bersetuju atau tidak setuju?

Mahdzir: Surat itu satu arahan.

Pertikaman lidah berterusan sekitar 10 minit, dengan seorang lagi peguam bela lain Akberdin Abdul Kader cuba mencelah dan cuba menerangkan soalan Jagjit kepada Mahdzir.

Akberdin memberitahu Mahdzir bahawa walaupun arahan perlu dipatuhi, terdapat juga peraturan seperti pekeliling Perbendaharaan yang mesti dipatuhi dalam proses tersebut.

Mahdzir kemudian bersetuju dengan cadangan itu.


‘Mahdzir kaitkan Rosmah untuk bebaskan dirinya’

1petang: Peguam bela Jagjit Singh menuduh bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid mereka cerita apabila beliau mengaitkan Rosmah Mansor dalam keterangannya pada prosiding rasuah mengenai projek hibrid solar.

Dia membuat cadangan itu semasa memeriksa balas Mahdzir, sambil menambah bahawa ahli politik itu sebenarnya cuba mengelakkan diri daripada dipertanggungjawabkan.

Walau bagaimanapun, Mahdzir menafikan dakwaan tersebut.

Jagjit: Saya cadang kepada kamu bahawa kamu melibatkan nama Datin Seri Rosmah untuk mengelakkan diri (daripada tuduhan itu).

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.

Jagjit: Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu cuba mengelakkan diri, dan kamu mengaitkan Datin Seri Rosmah seperti yang dinyatakan dalam keterangan kamu dalam Perenggan 91 (dari keterangan saksi)

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.

Dalam kenyataannya, Mahdzir mendakwa beliau ditekan untuk mengeluarkan "surat anugerah" projek itu kepada "Team Saidi" Jepak Holdings, merujuk kepada pengarah urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin.

Beliau menamakan Rosmah sebagai antara mereka dalam pasukan. Selain itu, turut dinamakannya ialah pembantu Rosmah, Rizal Mansor, dan Setiausaha Bahagian Umno Pekan Aazmey Abu Talib.


11.45 pagi: Prosiding bersambung selepas berehat.


11.20 pagi: Mahkamah rehat seketika.


Peguam minta Mahdzir bekal butiran syarikat yang miliki rumahnya

10.50 pagi: Peguam Rosmah Mansor, Jagjit Singh meminta bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, yang memberi keterangan terhadap anak guamnya supaya membekalkan butiran mengenai pemilikan rumahnya di mahkamah esok.

Mahdzir sebelum itu berkata, bahawa dia tidak ingat nama syarikat berkenaan.

Difahamkan sebuah rumah yang digunakan oleh Mahdzir di Country Height telah didaftarkan kepada sebuah syarikat.

Jagjit juga meminta ahli politik Umno itu supaya membawa butiran syarikat, termasuk para pemegang saham dan pengarahnya.


Peguam Rosmah kata Mahdzir 'menteri korup'

10.45 pagi: Peguam Rosmah Mansor ,Jagjit Singh menuduh bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid sebagai menteri yang korup.

Peguambela utama itu membuat tuduhan tersebut semasa menyoalbalas bekas menteri berkenaan, terutama mengenai keterangannya yang mengaitkan Rosmah dalam kes rasuah projek suria hibrid.

Jagjit bermula dengan menyoal Mahdzir mengapa dia tidak menyemak dengan Rosmah secara langsung apabila pembantunya ketika itu, Rizal Mansor mendakwa dia mewakili tertuduh dalam urusan berkaitan dengan projek solar tersebut.

Mahdzir berkata bahawa dia percaya Rizal kerana pegawai itu memberitahunya bahawa dia (Rizal) bercakap bagi pihak Rosmah.

Jagjit: Tidak ada alasan (tidak boleh menghubungi Rosmah secara langsung).

Mahdzir: Rizal yang beritahu saya (bahawa dia mewakili Rosmah).

Jagjit: Itu hanya alasan, Datuk Seri. Kamu seorang menteri yang korup. Kamu minta jutaan ringgit ...

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.


Peguam dakwa Mahdzir setuju beri projek, dapat habuan RM60 juta

10.20 pagi: Pemeriksaan balas bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dengan peguam Jagjit Singh diteruskan.

Ia dimulakan dengan peguam itu mencadangkan bahawa Mahdzir seorang yang korup.

Antara dakwaan Jagjit ialah Mahdzir setuju untuk memberikan projek projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar itu kepada Jepak Holdings dengan habuan berjumlah RM60 juta kepadanya.

Dia berkata Mahdzir dikatakan meminitkan persetujuannya berkenaan projek itu setelah pengarah urusan Jepak Holdings Said Abang Samsudin setuju untuk memberikannya RM1 juta sebulan untuk lima tahun.

Mahdzir bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu.


10.10 pagi: Perbicaraan bermula dengan bekas menteri pendidikan membacakan sumpah dan sedia untuk diperiksa balas peguam Jagjit Singh.


10 pagi: Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor masuk ke kandang tertuduh untuk menunggu perbicaraan bermula.

Turut dilihat di mahkamah ialah bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, yang dijangka meneruskan keterangannya sebagai saksi pendakwaan.


Hari keempat perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak hari ini dijangka dimulakan dengan pemeriksaan balas peguam bela terhadap bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid.

Mahdzir yang menjadi saksi pendakwaan kelima telah memberi keterangan sejak hari kedua pendengaran kes itu pada Khamis lalu.

Setakat ini dia membuat beberapa pendedahan menggemparkan berkenaan bagaimana kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion diberi kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam bidang itu.

Semalam, Mahdzir berkata dia mengadu kepada Najib pada 2016 berkenaan kelakuan dua individu yang berkaitan dengan Jepak yang melobi projek itu.

Mahdzir berkata dia dia dimalukan oleh mereka tetapi Najib hanya berdiam diri.

Mahkamah juga mendengar daripada peguam Rosmah, Jagjit Singh yang mengajukan bahawa Mahdzir didakwa menerima RM50,000 daripada pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin pada 2015, tetapi Mahdzir menafikannya.

Jagjit juga mendakwa setiausaha Umno Pekan Ahmad Aazmey Abu Talib menerima kira-kira RM1.5 juta daripada saidi atas bantuannya untuk mendapatkan kontrak itu.

Mahdzir setuju bahawa Jepak mendapat projek itu dengan bantuan Aazmey tetapi memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu-menahu tentang dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS