Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak lama lagi PAS perintah Malaysia, kata Mokhtar
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 5:39 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Tidak lama lagi - itu tempoh yang dinyatakan salah seorang pemimpin kanan PAS mengenai masa depan parti itu dalam politik Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mokhtar Senik, berkata ada banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kini terjadi apabila PH menjadi kerajaan.

Daripada banyak perkara yang "tak pernah berlaku" itu, kata bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Padang Besar pada 2008, ada satu yang diyakininya akan benar-benar terjadi.

Katanya, hal itu ialah, PAS akan memerintah Malaysia.

"Pelik ke?" katanya dalam satu hantaran di media sosial petang ini.

PAS baru-baru ini membayangkan mahu menjalin kerjasama dengan beberapa parti komponen PH dan ia dianggap bakal membuka pintu kepada wujudnya wakil parti berkenaan dalam kerajaan.

Mengikut apa yang dibayangkan, kerjasama itu akan dibentuk melalui pakatan PAS bersama Bersatu, Umno, dan sebahagian daripada ahli parlimen PKR yang tidak cenderung kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim.

Dilabel dengan langkah menyertai kerajaan melalui pintu depan dan belakang, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man malah menyatakan, parti itu tidak kisah dengan laluan mana yang ada, termasuklah melalui 'tingkap' selagi ia mematuhi perlembagaan.

Berlaku sedikit masa lagi

“[...] Pintu belakang, pintu depan, bagi kita tak ada istilah itu. Bagi kita mana-mana pun istilah (yang digunakan), perubahan mesti mengikut undang-undang dan peraturan yang ada.

“Contohnya dulu berlaku pertukaran kerajaan di Perak, adakah kita nak kata itu pintu belakang? Sedangkan dari segi undang-undang ia sah.

“Maka bagi kita apa-apa peraturan, perubahan yang tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan undang-undang negara, maka itu sah. Sekalipun ikut tingkap,” katanya pada 8 Feb lalu.

PAS kemudian hadir dengan cadangan membawa usul percaya kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.


Baca 'Jika sayang Dr M, jangan undi dia'


Pada masa sama, Umno dilihat berhati-hati dengan langkah itu apabila timbalan presidennya, Mohamad Hasan, membayangkan mereka belum dimaklumkan mengenai rancangan berkenaan di sebalik wujudnya piagam Muafakat Nasional di antara kedua-dua parti.

Mokhtar berkata ahli dan wakil rakyat Amanah - yang menjadi antara seterus utama PAS - 'melompat' dengan cadangan untuk membawa usul percaya kepada Mahathir.

Beliau yang juga pemimpin ulama PAS itu juga menyindir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, yang memberi pandangan bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah ada pembangkang membawa usul percaya kepada perdana menteri.

"Peguam yang dua kali tumbang cakap, tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pembangka bawa ususl percaya kepada ketua kerajaan.

"Betul, memang tak pernah berlaku. Begitulah sejak akhir-akhir ini, memang banyak perkara yang tak pernah berlaku tapi berlaku sejak PH memerintah.

"Tapi saya nak beritahu kamu ada satu lagi perkara yang tak pernah berlaku sebelum ini yang akan berlaku sedikit masa lagi iaitu PAS memerintah Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS