Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan mengguna nuklear sebagai sumber tenaga diperbaharui, kerana negara tidak mempunyai kepakaran dalam mengurusnya.
“Pengetahuan kita dalam sains itu tidak mencukupi. Kita tidak tahu bagaimana untuk melupuskannya.
“Itu sebabnya kita tidak boleh menggunakan bahan nuklear, kerana ia tidak terurai selama berjuta tahun.
“Kita juga tidak mahu negara ini dipenuhi dengan sisa yang dibuang di semua tempat dan memberi kesan kepada rakyat,” katanya dalam sesi soal jawab bersama ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di Cyberjaya, hari ini.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai visi Malaysia dalam sumber tenaga diperbaharui.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata dunia masih belum mengetahui bagaimana untuk melupuskan sisa bahan nuklear.
Oleh itu, katanya, sumber tenaga diperbaharui itu tidak akan digunakan selagi cara untuk membalikkan proses dalam penggunaan bahan nuklear tidak ditemui.
Pada September lalu, Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berikar Malaysia akan meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharuinya kepada 20 peratus menjelang 2025.
Malah, Yeo berkata ia akan dicapai melalui Rancangan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025).