Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir: Wakil Jepak rendah-rendahkan saya tapi Najib diam

KES ROSMAH | Mahdzir Khalid berkata beliau mengadu kepada, Najib Razak pada tahun 2016 mengenai tingkah laku wakil pelobi untuk mendapatkan kontrak kerajaan tetapi bekas perdana menteri itu hanya berdiam diri.

Memberi keterangan dalam perbicaraan kes terhadap isteri Najib, Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bekas menteri pendidikan itu berkata beliau telah membangkitkan mengenai wakil-wakil dari Jepak Holdings yang melobi untuk mendapatkan projek pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Mereka ialah pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakannya, Rayyan Radzwill Abdullah, yang Mahdzir (gambar atas) percaya mendapat sokongan Rosmah.

"Saya juga ada memberitahu Datuk Seri Najib bahawa Saidi dan Rayyan dari Jepak telah melampaui batas kerana merendah-rendahkan saya sebagai menteri pendidikan.

"Saya memberitahu Datuk Seri Najib bahawa Rayyan menuduh saya gagal sebagai menteri pendidikan dan tidak boleh lama menjadi menteri. Rayyan telah mengeluarkan ugutan sebegitu beberapa kali kepada saya antara bulan Julai dan Oktober 2016.

"Saya juga memberitahu Datuk Seri Najib Razak bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dalam urusan projek hibrid solar Jepak.

"Datuk Seri Najib Razak tidak bercakap apa-apa selepas itu seolah-olah mengiyakan apa yang telah dicakap oleh Saidi dan Rayyan," kata Mahdzir ketika pemeriksaan utama oleh DPP, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Najib (gambar), katanya, meminta beliau meneruskan kertas kerja untuk memberi kontrak kepada Jepak.

"Datuk Seri Najib Razak hanya mengarahkan saya untuk mengikut arahan beliau untuk mengeluarkan SST (Surat Setuju Terima) kepada Jepak dengan segera. Saya akur sahaja dengan arahan beliau," katanya.

Mahdzir berkata beliau menandatangani surat penganugerahan kontrak pada 10 Nov 2016.

Bagaimanapun, pada hari itu, beliau berkata Saidi dan Rayyan datang ke kementeriannya di Putrajaya kerana mereka tidak berpuas hati dengan klausa tertentu dalam surat berkenaan.

"Klausa tersebut adalah berkenaan hak kementerian pendidikan untuk menamatkan kontrak dan mengurangkan bilangan sekolah untuk pelaksanaan projek solar hibrid sekiranya ada sekolah yang telah disambungkan ke talian grid elektrik.

"Saidi dan Rayyan menuntut saya untuk mengarahkan kementerian pendidikan mengeluarkan klausa berkenaan," katanya.

Mahdzir berkata beliau pada awalnya enggan kerana ia perlu mengikut prosedur tetapi Rayyan menyatakan "Takkan benda ni nak sampaikan kepada Datuk Seri Najib lagi".

Kemudian, katanya, Rayyan telah menghubungi Rizal Mansor iaitu pembantu Rosmah dan menyerahkan telefon kepadanya.

Mahdzir berkata Rizal telah memberitahunya lebih kurang begini: "kalau boleh keluarkan klausa itu" dan "jangan buat susah perkara ini".

Rizal juga memberitahu bahawa projek itu sudah berada dalam pengetahuan 'Mem'.

"Saya tahu Mem yang dimaksudkan oleh Datuk Rizal Mansor adalah Datin Seri Rosmah. Cara cakap Datuk Rizal Mansor tidaklah kasar cuma beliau menggunakan otoriti Datin Seri Rosmah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS