Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perjuang isu Palestin dengan tindakan jelas, bukan retorik - Anwar

Tindakan yang jelas dan bukannya retorik perlu diambil demi usaha membela rakyat Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Parlimen mengenai Pembaharuan dan Tadbir Urus itu berkata, satu agenda yang mirip retorik tidak dapat diterima, kerana ia tidak akan memperbaiki keadaan semasa di rantau berkenaan.

“Kita sudah semestinya menggunakan Liga Ahli Parlimen AL-Quds bagi meneruskan usaha melibatkan negara Islam yang tidak diwakili (dalam liga itu) untuk mencadangkan kepada mereka akan kedudukan sebenar, kecenderungan bersifat retorik tidak dapat diterima dan komitmen yang jelas dan tindakan (perlu diambil), katanya.

Anwar berkata demikian pada majlis makan malam perpisahan Persidangan Ahli Parlimen Antarabangsa Liga Al-Quds di sini malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata, pemimin Islam perlu bercakap dan tunjukkan keberanian untuk bersuara mengenai apa yang benar dan memperjuangkan keadilan untuk Palestin.

Persidangan dua hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh LP4Q di bawah naungan Parlimen Malaysia dengan sokongan beberapa organisasi termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Organisasi Kebudayan Palestin Malaysia (PCOM).

Malaysia diberikan penghormatan sebagai tuan rumah persidangan itu buat kali pertama, selepas dua persidangan sebelum ini diadakan di Istanbul, Turki pada 2016 dan 2018.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS