Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds (LP4Q) meluluskan sembilan resolusi, termasuk ketetapan mendesak negara anggota dan parlimen serantau mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman dan pendudukan Israel ke atas Palestin.

Ketua Jawatankuasa Persahabatan Palestin-Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh merangkap anggota jawatankuasa eksekutif LP4Q, berkata resolusi itu turut mengesahkan semula bahawa isu Palestin menjadi keutamaan seluruh negara Arab dan menekankan Baitulmaqdis Timur yang diduduki kekal sebagai ibu negara Palestin.

Resolusi itu juga menyeru sekali lagi agar masyarakat antarabangsa meneruskan komitmen serta menyokong rakyat dan negara Palestin memperjuangkan hak mereka.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata peranan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan yang pertama kali diadakan di luar Timur Tengah, dapat menggalakkan lagi penyertaan lebih ramai ahli Parlimen termasuk dari Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

"Diharapkan kita dapat bersatu dalam satu suara," katanya semasa sidang akhbar, di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, penglibatan semua pihak sama ada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk wakil Umno dan PAS, menunjukkan Malaysia tidak terkecuali dalam mengutarakan isu itu.

“Malah, di sesi Parlimen akan datang saya akan mencadangkan satu usul khas, untuk mengetengahkan suara kita berhubung isu Palestin dan "Perjanjian Abad Ini",” ujarnya.

Persidangan itu diadakan selepas Presiden Donald Trump mengumumkan pelan damai Timur Tengah yang dikenali "Perjanjian Abad Ini", yang kononnya untuk menamatkan pertikaian Israel-Palestin.

Lebih 300 ahli Parlimen dari 40 negara menyertai persidangan dua hari itu yang berakhir hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS