Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan Bersatu Sabah: 787 calon menang tanpa bertanding

Seramai 787 calon yang bertanding pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menang tanpa bertanding dan 188 calon akan bertanding di peringkat bahagian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Sabah Awang Shamsi Jami berkata jumlah borang pencalonan diterima daripada 25 bahagian Bersatu di negeri ini adalah sebanyak 1,156 borang dan hanya 1,123 calon diluluskan untuk bertanding.

Katanya tapisan oleh JPP merujuk kepada tiga syarat kelayakan utama iaitu calon mesti menjadi ahli tidak kurang 12 bulan sebelum 15 Feb ini, pernah memegang jawatan di peringkat jawatankuasa bahagian atau ahli jawatankuasa sayap bahagian serta menjelaskan yuran tahunan.

Tarikh bantahan terhadap calon bertanding dibuka pada hari ini sehingga 14 Feb, katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya mesyuarat Bersatu Sabah peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari sehingga 29 Mac dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April, manakala Perhimpunan Agung Tahunan pula pada 25 hingga 28 Jun depan.

Awang Shamsi berkata 23 ketua penaja bahagian Bersatu antara yang menang tanpa bertanding termasuk di Tuaran, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor dan timbalannya Datuk Masidi Manjun di Ranau.

Katanya dua bahagian ada pertandingan adalah di Kalabakan dan Libaran.

Menurutnya seramai 23 calon Ketua Armada juga menang tanpa bertanding termasuk Ketua Armada Bersatu Sabah Mohd Isquzawan Israq Arsit di bahagian Putatan, manakala dua bahagian ada pertandingan iaitu Kalabakan dan Semporna.

Bagi Ketua Srikandi bahagian, 21 menang tanpa bertanding termasuk Ketua Srikandi Bersatu Sabah Datuk Azizah Mohd Dun di bahagian Beaufort.

Terdapat empat bahagian ada pertandingan iaitu di Kalabakan, Tawau, Penampang dan Tenom.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS