Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LP4Q ke-3 lantik jawatankuasa eksekutif untuk penggal 2020-2024

Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds (LP4Q) yang melabuhkan tirainya hari ini (9 Feb), menyaksikan pelantikan barisan jawatankuasa eksekutifnya untuk penggal kedua (2020-2024).

Sheikh Hamid al-Ahmar dari Turki sekali lagi dipilih sebagai pengerusi liga itu manakala Dr Nureddin Nebati (Turki) dan Fadli Zun (Indonesia) sebagai Naib Presiden, selepas memperoleh undi majoriti. Kemudian presiden akan memilih 13 anggota eksekutif baharu.

Jawatankuasa eksekutif yang pertama ditubuhkan semasa persidangan di Istanbul,Turki pada 2016 dan 2018, dirasmikan Presiden Recep Tayyeb Erdogan. Penubuhannya bertujuan mempertahankan dan memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Sementara itu, LP4Q berhasrat menubuhkan dan menyelaraskan semua parlimen, parti dan blok parlimen untuk menyokong isu Al-Quds dan Palestin di samping inisiatif utama membentuk Jawatankuasa dan Kokus Palestin.

Selain itu, ia juga bertujuan mengaktifkan peranan ahli parlimen di peringkat serantau dan antarabangsa, mendedahkan pencabulan akibat pendudukan rejim Israel dan aktif mengadakan rundingan bagi memastikan keadilan kepada rakyat Palestin.

LP4Q juga bertindak sebagai platform menyalurkan maklumat kepada anggota parlimen mengenai penindasan rejim Zionis di Palestin dan mendesak mereka menekan kerajaan untuk menyokong isu Palestin.

Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Persahabatan Palestin-Malaysia, diketuai Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, merangkap ahli jawatankuasa eksekutif LP4Q.

Kira-kira 500 penyokong kerajaan dan speaker dari beberapa negara menghadiri persidangan itu.

Pada 2015 LP4Q dianggotai 125 ahli Parlimen dari 25 negara dan keahlian semakin bertambah pada 2018 seramai 700 orang dari 70 negara. Ia adalah gabungan anggota parlimen dari seluruh dunia yang menyokong Al-Quds.

Malaysia diberikan keistimewaan menjadi tuan rumah persidangan itu buat kali pertama selepas dua sidang terakhir di Istanbul.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS