Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokong MA63 jika PAS ikhlas sokong PM, kata MP Sabah
Diterbitkan:  Feb 9, 2020 10:34 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Anggota Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menggesa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan-rakan partinya untuk menyokong pindaan perlembagaan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak jika mereka ikhlas menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Usul percaya terhadap Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah menggelikan hati jika anggota Parlimen PAS itu, pada hakikatnya, tidak benar-benar menyokong inisiatif (perdana menteri)," kata Chan dalam satu kenyataan hari ini.

Chan merujuk kenyataan Tuan Ibrahim bahawa PAS mahu melakukan usul undi percaya terhadap Mahathir apabila Dewan Rakyat bersidang bulan depan.

Cadangan Tuan Ibrahim itu dibuat selepas beberapa pihak dilihat "menggembar-gemburkan" rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan perdana menteri.

Chan, yang juga Setiausaha DAP Sabah berkata, cara yang lebih baik untuk menunjukkan sokongan adalah dengan PAS menyokong pindaan perlembagaan kembali dibentangkan oleh perdana menteri dan Pakatan Harapan di parlimen.

"9 April 2019 tahun lalu adalah hari bersejarah bagi kami rakyat Sabah dan Sarawak apabila Mahathir sebagai perdana menteri, mengakui bahawa pindaan perlembagaan yang dibentangkan pada tahun 1976 telah mengurangkan kedudukan Sabah dan Sarawak untuk menjadi sama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia apabila itu bukanlah niat bapa-bapa pengasas kita, "

"Oleh itu, terdapat keperluan untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Malaysia untuk memulihkan kembali status Sabah dan Sarawak kepada perkataan-perkataan asalnya.

"Rang undang-undang itu dibentangkan hanya untuk itu," kata Chan.

Beliau juga menambah rang undang-undang yang dibentangkan Mahathir di Parlimen hanya ditewaskan oleh sebanyak 10 undi.

"Terdapat sekurang-kurangnya 17 anggota Parlimen PAS yang hadir semasa bacaan kedua rang undang-undang itu, tetapi mereka semua memutuskan untuk tidak menyokong Tun dan telah berkecuali dalam pengundian mereka.

"Hadir tetapi tidak mengundi, PAS memberikan bukan hanya rakyat Sabah dan Sarawak, tetapi juga Mahathir, tamparan ke muka mereka!" katanya.

Chan berkata, rang undang-undang yang sama akan dibentangkan semula di Parlimen tahun ini dan beliau berharap anggota Parlimen PAS akan menyokongnya pada masa itu.

"Ini adalah cara terbaik menunjukkan sokongan mereka terhadap Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga akan membantu Sabah dan Sarawak untuk memulihkan semula kedudukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Jika PAS boleh berbuat demikian, maka jelas usul undi percaya tidak perlu dan satu pembaziran masa Parlimen, "kata Chan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS