Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Syarat baru rawatan dialisis lembaga Perkeso bukan arahan menteri'

Keputusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum ini yang menetapkan syarat baru berhubung rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman pencarum merupakan keputusan pertubuhan itu sendiri.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata segala keputusan berkaitan syarat baru itu hasil mesyuarat pertubuhan berkenaan pada 15 Dis lepas dan ia dibuat di luar pengetahuannya.

"Keputusan Perkeso untuk tidak menyediakan perkhidmatan dialisis kepada yang mencarum kurang daripada 24 bulan berbanding 12 bulan adalah keputusan mereka sendiri.

"Keputusan dibuat tanpa pengetahuan saya, dan ada yang kata menteri yang arahkan, ia tidak benar. Saya telah mengarahkan pihak Perkeso menarik balik keputusan mereka," katanya.

Kulasegaran yang juga anggota parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas memberi minuman percuma kepada orang ramai sempena sambutan Thaipusam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di Kuil Gunung Cheroh di Ipoh, hari ini.

Sebelum ini, Perkeso menjelaskan melalui Arahan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) Bil. 1/2020 yang berkuat kuasa pada 10 Jan lepas, kemudahan dialisis perlu mengikut syarat baru kelayakan caruman yang ditetapkan selari dengan prinsip perlindungan sosial dan kemampanan dana keselamatan sosial untuk masa hadapan.

Bagaimanapun, pada Khamis lepas, Perkeso mengumumkan arahan baru itu ditarik balik berkuat kuasa serta-merta sekali gus membolehkan semua pencarum yang layak, termasuklah penerima bantuan ilat menerima kemudahan bantuan dialisis secara percuma seperti mana sebelum ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS