PAS akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.
Hal itu diumumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam sidang media bersama selepas diputuskan dalam mesyuarat bulanan parti itu di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur, hari ini.
Kata mereka, keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan perdana menteri, namun sehingga kini, tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.
Tambah mereka, usul itu adalah bagi mengakhiri kemelut berhubung peralihan kuasa perdana menteri yang dakwa mereka “telah mengganggu kestabilan politik dan ekonomi” selain mengganggu perdana menteri untuk terus mentadbir negara.
“Usul ini sangat perlu dibincang supaya kita boleh tengok sejauh mana perdana menteri mendapat sokongan daripada ahli-ahli parlimen,” kata Tuan Ibrahim.
“Sepatutnya yang tak puas hati kepada perdana menteri, bawa usul tak percaya. Bila usul tak percaya tidak ada, kita bawa usul percaya. Kalau selepas ini ada usul tak percaya, mungkin kita akan tarik balik usul percaya, akan mengundi usul tak percaya itu untuk menolak (usul),” kata Takiyuddin kemudiannya.
Untuk rekod, sesi Dewan Rakyat seterusnya akan bersidang bermula 9 Mac ini.
Peralihan kuasa perdana menteri dipersetujui sebelum pilihan raya umum ke-14, Mei 2018 lalu, yang menyatakan Mahathir akan menjadi perdana menteri terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, namun tempoh untuk peralihan itu berlaku tidak dijelaskan secara spesifik.
Dalam kalangan penyokong Anwar, mereka mendesak Mahathir untuk menyegerakan peralihan kuasa dan memberikan tarikh jelas beliau akan melepaskan jawatan.
Desakan itu semakin lantang setelah PH mengalami kekalahan berturut-turut dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, menyebabkan ada yang mendakwa peralihan kuasa perlu disegerakan.
Bagi penyokong Mahathir dalam Bersatu, dan beberapa pihak dalam PKR seperti timbalan presidennya, Azmin Ali, mereka menyuarakan sokongan agar Mahathir terus menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.
Sokongan tersebut turut dinyatakan secara terbuka oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim sendiri.
Biarpun konsisten menyatakan akan mengotakan janji menyerahkan jawatan kepada Anwar, Mahathir juga ada memberi bayangan bahawa beliau tidak akan berundur sebelum selesai Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan dianjurkan Malaysia, November 2020.
Mengulas lanjut mengenai hal itu, kata Takiyuddin, mengikut proses yang sepatutnya, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan perdana menteri, mereka boleh mengemukakan usul tidak percaya yang sekiranya berjaya, akan memaksa perdana menteri melepaskan jawatan, atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.
“Sekarang ni tak ada usul tak percaya, hanya cakap-cakap kosong sahaja bahawa perdana menteri ini tak mendapat sokongan, dan individu lain ada sokongan untuk menjadi perdana menteri.
“(Disebabkan) tak ada usul itu, kita yang akan bawa usul undi percaya kepada perdana menteri,” katanya.
Ditanya apakah cadangan tersebut akan turut dibincangkan dengan BN, Tuan Ibrahim hanya menjawab ia “akan dimaklum dan dibincangkan kemudian”.