Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M jumpa PAS, Umno sebab nak betul kejumudan - Mujahid
Diterbitkan:  Feb 8, 2020 1:22 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Pertemuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin pembangkang Umno dan PAS bertujuan untuk membetulkan kejumudan dua parti itu, kata Menteri di JPM Mujahid Yusof.

"Dr Mahathir memang bertemu dengan semua pihak termasuk Umno dan PAS tetapi menyedari gaya berfikir Umno dan PAS yang tidak membantu kepentingan negara yang lebih besar dalam fasanya yang kritikal hari ini, pertemuan tersebut adalah untuk membetuli kejumudan PAS dan Umno.

"Memang isu Melayu dan Islam perlu ditangani tetapi dalam kerangka pemikiran bagaimana? Itulah yang Tun M mahu jelaskan kepada Umno dan PAS, mesej pertemuan ialah mari kita berfikir di luar kotak berfikir secara status-quo," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata kepimpinan dalam pentadbiran PH terbuka mengajak semua pihak, termasuk parti politik yang berbeza pandangan untuk menyokong pemikiran progresif dasar-dasar kerajaan.

"Begitu juga keseluruhan kepimpinan Malaysia Baru hari ini yang terbuka mengajak semua pihak untuk sama-sama menyokong pemikiran yang progresif, inklusif dan menolak pemikiran sempit agama dan kaum supaya seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran bersama.

"Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Gagasan Rahmah adalah pelantar membentuk Malaysia Baru yang perlu didokong bersama.

"Bersama tidak bermakna mencairkan identiti kepartian masing-masing tetapi bersama bermakna mengkritik agar dasar yang menguntungkan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan bukan menentang segalanya atas nama kepentingan politik sempit," katanya lagi.

Mujahid juga menyoal jika PAS dan Umno "yang menamakan diri mereka Muafakat Nasional" mampu untuk bersaing secara sihat demi kepentingan rakyat.

"Kalaupun PAS dan Umno bergabung hendak bersaing, biarlah saingan itu mendasari ide-ide progresif ke arah perubahan yang lebih baik untuk Malaysia.

"Hanya dengan persaingan yang sihat ini rakyat akan menikmati dasar yang lebih menguntungkan.

"Adakah mereka cukup progresif untuk memimpin perubahan ke arah lebih baik?" Soalnya lagi.

Menjelaskan lanjut, Mujahid berkata penolakan PAS dan Umno terhadap "ide (pentadbiran PH) yang baik dan bermanfaat kepada awam adalah sesuatu yang mengundang persoalan" mengenai cara pemikiran politik kedua parti ini.

"Lebih penting ialah apakah mereka punya alternatif yang lebih baik?

"Di sinilah PAS dan Umno menyerlahkan apa yang tersirat dalam acuan pemikiran mereka. 

"MP PAS dan Umno enggan mengisytiharkan harta mereka walaupun itu adalah tuntutan terlalu mudah dan asas bagi mana-mana jawatan yang ada kepentingan awam.

"PAS dan Umno memainkan isu perkauman dan agama sempit dalam semua keputusan dan usaha reformasi yang diusahakan oleh PH seperti isu Tabung Haji, pengajaran Jawi dan isu Statut Rom," katanya.

Untuk meraih sokongan politik, kedua-dua parti itu dakwa Mujahid "sanggup memfitnah, berbohong dan memanipulasi kenyataan-kenyataan kerajaan dengan niat memutarbelitkan kenyataan rasmi kerajaan demi meraih sokongan politik."

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 24 Januari lalu tampil menjelaskan pertemuannya bersama Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pemimpin PH tidak perlu gusar dengan pertemuanya berkenaan, malah menegaskan ia bukanlah kali pertama beliau berjumpa Mahathir.

Sebaliknya, Abdul Hadi menyatakan, pertemuan berkenaan dibuat ekoran ada "permintaan" daripada pihaknya.

"Saya jumpa tak minta masuk kabinet, tak payah rungsinglah.

"Kita jumpa bukan minta nak masuk kerajaan (tapi) minta hal lain, hal urusan negeri yang kita perintah saja.

"Kita tak campur hal lain dan kita tak ada hasrat nak masuk PH," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila, Terengganu, ketika itu.

Bulan Januari lalu, tular gambar menunjukkan Mahathir menjadi tuan rumah kepada kunjungan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Berdasarkan gambar itu, pertemuan tersebut turut disertai isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta individu yang dekat dengan perdana menteri, Khairuddin Abu Hassan.

Gambar itu kemudian mencetuskan gosip kononnya ada usaha membawa masuk PAS untuk menyertai PH. 

Beberapa pihak pula mendakwa dalam pertemuan tersebut beberapa hal berkaitan Muafakat Nasional - membabitkan PAS dengan Umno - turut dibicarakan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menafikan parti itu pernah terfikir untuk menyertai gabungan kerajaan.

Beberapa pihak pula mendakwa, pertemuan tersebut dibuat untuk mengukuhkan lagi jaminan PAS kepada Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut Abdul Hadi, beliau boleh bertemu sesiapa saja yang dirasakan perlu termasuklah perdana menteri jika berasa ada keperluan untuk berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS