Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ERL ambil langkah elak jangkitan koronavirus

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali KLIA Express, mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan regimen pembersihan yang ketat, enam kali sehari di semua stesennya berikutan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Maintenance Support Sdn Bhd Thomas Baake berkata rejimen itu untuk memastikan keselamatan penumpang dan kakitangannya serta memberi keyakinan orang ramai untuk terus menggunakan pengangkutan awam.

"Seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan, kami memainkan peranan kami dengan membersihkan dan membasmi jangkitan di kawasan yang kerap disentuh di stesen seperti pemegang dan rel, rak bagasi, butang pintu, tandas selain membersihkan tempat duduk penumpang enam kali sehari.

"Pencuci kami juga menggunakan bahan penyahjangkit yang lebih kuat semasa proses pembersihan itu untuk mengekalkan standard kebersihan yang tinggi, kerana kami memberi tumpuan dalam menjaga lima bidang utama kami iaitu penumpang, kakitangan, tren, stesen, dan kesedaran," katanya kepada pemberita semasa taklimat ERL mengenai langkah pencegahan jangkitan 2019-nCoV di Kuala Lumpur, hari ini.

Baake berkata ERL juga menyediakan bahan pembasmi kuman tangan di kaunter tiket dan menawarkan penutup hidung dan mulut kepada penumpang yang menunjukkan tanda-tanda selesema.

Stesen-stesen yang terlibat dalam rejimen pembersihan itu ialah KLIA, klia2, KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Salak Tinggi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS