Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Sahruddin dilantik timbalan pengerusi PH Johor

Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini bersetuju melantik Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai salah seorang daripada lima Timbalan Pengerusi PH Johor.

Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat parti itu yang berlangsung di ibu pejabatnya, di Johor Bahru hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mazlan Bujang, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah)

Johor Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi PKR Jimmy Puah Wee Tse.

Ketika ini, empat Timbalan Pengerusi PH Johor yang lain ialah Mazlan, Liew, Aminolhuda dan Pengerusi PKR Johor yang juga merupakan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kita harap kehadiran MB ini dapat menjelaskan banyak perkara yang tidak berapa kita (parti) ketahui iaitu tentang dasar-dasar dan program-program yang telah ataupun akan dilaksanakan di peringkat negeri sebagai contoh isu cukai tanah, program peringkat kerajaan negeri, pembinaan Universiti Johor.

“Hal-hal sebegini adalah sebahagian perkara yang kita telah putuskan dalam manifesto yang hendak dilaksanakan dan maklumat mengenainya (dasar dan program) amat berguna untuk PH,” kata beliau dalam sidang media sejurus mesyuarat itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata PH Johor akan mengadakan satu konvensyen pada April ini sebagai memberi peluang kepada kepimpinan negeri menyuarakan pandangan mereka berhubung isu semasa, dasar dan juga pelaksanaannya.

“Saya kira memang wajar kita adakan konvensyen ini selepas hampir dua tahun PH tertubuh kerana banyak usaha dilakukan di peringkat negeri dan persekutuan yang sebenarnya ramai rakyat tidak tahu...mungkin kerana sebaran maklumat tidak berapa meluas.

“Jadi, konvensyen ini akan memberikan tumpuan kepada apa-apa insiatif yang telah kita laksanakan selama ini dan hala tuju PH untuk masa hadapan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS