Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin masih tunggu Zuraida balas tuntutan saman

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa beliau masih menunggu respons daripada Zuraida Kamarudin berkenaan surat tuntutan saman yang dibuatnya.

Jelasnya, perkara itu juga akan diserahkan kepada pihak peguam bagi menjalankan proses selanjutnya.

“Saya serahkan kepada peguam dan kami masih menunggu respons Zuraida, kemudian kami akan mengikuti proses (undang-undang) sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat kementerian kewangan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Saifuddin memberitahu pihak Zuraida telah menerima surat tuntutan itu pada 20 Januari lalu. Ia berkaitan dua kenyataan yang dibuat menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu terhadap setiausaha agung PKR.

Kenyataan itu mendakwa Saifuddin menerima jutaan ringgit daripada kerajaan Kelantan serta Tabung Tok Kenali.

Menurut Saifuddin, beliau dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tabung Tok Kenali ialah agensi kerajaan negeri yang mengendalikan program bantuan dan khairat kematian untuk semua penduduk Kelantan yang berusia 60 tahun ke atas.

Sementara itu, Saifuddin berkata PKR tiada masalah sekiranya anggota parti itu mahu mengambil cuti daripada jawatannya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan pemberita ekoran pengumuman Zuraida yang mahu bercuti daripada jawatannya sebagai naib presiden PKR.

“Ya boleh (Zuraida untuk bercuti) tiada masalah dan dia (Zuraida) tulis kepada presiden, presiden bentang kepada Biro Politik dan mereka juga setuju dengan surat beliau yang menyatakan nak bercuti,” katanya.

Terdahulu Zuraida - yang diadukan kepada Lembaga Disiplin PKR - memohon untuk bercuti daripada jawatannya sebagai naib presiden sehinggalah proses siasatan berhubung tuduhan salah lakunya diselesaikan.

Semalam, Zuraida menjelaskan keputusan tersebut diambil atas alasan tidak mahu mempengaruhi keputusan siasatan Biro Politik PKR terhadap aduan ke atas dirinya.

Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam sudah meluluskan permohonan Zuraida untuk bercuti.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata anggota biro itu sebulat suara menerima permohonan tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna menjelaskan kerajaan bersedia untuk menambahkan pembelian topeng muka susulan penularan wabak koronavirus.

Jelasnya, ini hasil pertemuan pihak kementeriannya dan kementerian kewangan bersama pengeluar topeng muka dua hari lalu.

“Dua hari lepas saya dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sudah buat pertemuan dengan syarikat pengeluar topeng muka susulan isu penyebaran koronavirus untuk dapatkan fakta sebenar dan kedudukan sebenar dalam import topeng muka.

“Pertemuan dengan beberapa pemain industri itu kita perjelaskan agar mereka pertingkatkan pengeluaran topeng dalam harian, minggu dan bulan.

“Jika jaminan itu dibuat (peningkatan pengeluaran topeng muka) kerajaan bersedia untuk meningkatkan pembelian barang tersebut,” katanya.

Jelasnya, beliau berharap agar rakyat tidak membuat pembelian topeng muka secara panik (dengan kuantiti banyak).

“Dengan ikhtiar ini kita boleh dapat stok munasabah dan kita harapkan rakyat jangan buat pembelian panik.

“Kita sudah buat pertemuan dengan mereka (pengeluar) yang akan buat peningkatan untuk pengeluaran topeng muka tersebut,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS