Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih 1,700 anggota polis bertugas di Batu Caves

Lebih 1,700 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, dekat Kuala Lumpur sempena sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata anggota polis dari daerah berdekatan bersama Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta trafik ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan itu.

“Polis jangka kawasan ini akan dibanjiri oleh orang awam apabila pedati berhias tiba nanti.

“Oleh itu, anggota trafik telah diatur gerak bagi mengawal keadaan lalu lintas supaya jalan tidak sesak,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di Batu Caves di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang serta arahan daripada pihak berkuasa.

“Keadaan di sekitar Batu Caves terkawal dan polis harap keadaan ini akan berterusan sehingga sambutan selesai.

“Polis tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana bukan hanya rakyat tempatan, pelancong asing juga datang untuk lihat perayaan ini,” katanya.

Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah dilapor berkata polis memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan provokasi dan kekecohan ketika perarakan pedati Perak sempena perayaan Thaipusam.

Shanmugamoorthy berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang berniat menimbulkan kekacauan bagi memastikan perarakan yang bermula pukul 10 malam Jumaat berjalan lancar dan semua pihak dinasihat menjaga sensitiviti kaum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS