Tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan rancangan untuk menyediakan sarapan pagi percuma kepada semua murid, tanpa mengira latar sosioekonomi mereka.
Bagaimanapun pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad berkata ia "tidak adil" kerana anak golongan kaya juga akan mendapatnya, dan menetapkan Program Sarapan Pagi (PSP) hanya akan dikhususkan kepada pelajar tidak berkemampuan.
Kajian Khazanah Research Institute yang diterbitkan hari ini mengakui memberi makan kepada semua murid tanpa mengira latar ekonomi akan memakan kos, tetapi ia turut mendatangkan banyak manfaat.
Kajian bertajuk "Understanding School Feeding in Malaysia" itu disediakan oleh Jarud Romadan Khalidi and Tan Zhai Gen.
"Kaitan berterusan langkah sekolah memberi makan dengan bantuan kepada orang miskin mengelirukan dan mengabaikan potensi besar program itu dalam banyak aspek.
"Sementara pemberian makan kepada semua akan menelan belanja besar, kita juga perlu mengakui bahawa ia bukan saja 'campur tangan nutrien' tetapi satu pelaburan untuk kanak-kanak.
"Pelbagai kajian mendapati kadar manfaat-kos yang mengagumkan dalam hampir semua program makanan di sekolah," kata Jarud dan Tan.
Menurut mereka, nutrisi yang betul dan murid yang tidak lapar dalam kelas menjadikan pembelajaran lebih muda.
Mereka juga menyatakan bahawa punca utama kebanyakan murid yang tidak bersarapan adalah kerana tiada masa yang mencukupi dan tiada selera.
Selain menambah baik pendidikan murid, Jarud dan Tan berkata program makanan yang bersifat universal (melibatkan semua murid) akan meningkatkan pergaulan murid daripada latar belakang berbeza, seterusnya membolehkan mereka lebih saling memahami.
Kata mereka, program untuk murid miskin boleh menyebabkan murid tersebut dianggap sebagai stigma dan disindir kerana menerima bantuan tersebut.
"Dalam kes ini, penerima tidak akan makan makanan yang disediakan dan objektif program tidak tercapai, di saat belanja sudah pun dikeluarkan," kata mereka.
Kata mereka, ia boleh diatasi dengan menyediakan makanan kepada semua murid, seperti yang dilaksanakan di New York, Amerika Syarikat pada 2003.
Pada masa sama, mereka berkata program makanan universal juga boleh menangani masalah tidak cukup nutrisi yang melibatkan murid miskin dan juga kaya.
"Program ini boleh mendidik kanak-kanak berkenaan kepentingan dan manfaat pemakanan sihat.
"Walaupun masalah tidak cukup nutrisi lebih melibatkan golongan miskin, ada juga masalah obesiti. Mengembangkan program kepada semua murid boleh menjadi penyelesaiannya."
Walaupun kertas kajian itu tidak menyediakan analisis terperinci terhadap program makanan sekolah sedia ada di Malaysia, ia menyatakan pemakanan sihat boleh digalakkan dengan kantin hanya dibenarkan menjual makanan yang diluluskan.
Kajian itu memetik Healthy Food in School Programme - yang dibiayai ibu bapa - sebagai contoh yang boleh dilihat.
Bagaimanapun, program makanan yang meliputi semua pelajar boleh mendatangkan kesan tidak diingini.
Mereka membangkitkan keadaan di Korea Selatan, di mana dana untuk pendidikan fizikal dipotong ketika program makanan universal dilaksanakan. Ia menyebabkan kemerosotan bilangan murid yang memiliki fizikal yang sihat (physically fit).
"Pembangunan berkaitan kesihatan kanak-kanak di Malaysia dan baik buruk program universal berbanding (kepada golongan) sasaran perlu difahami dengan jelas untuk merangka program makanan sekolah yang membantu mereka yang memerlukan.
"Jika program itu dirangka dan dilaksana dengan lebih baik, program makan sekolah yang meliputi semua pelajar akan menjadi langkah penting untuk menangnai pelbagai cabaran yang menanti generasi akan datang dengan lebih baik," kata mereka lagi.