Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yeoh gesa mangsa tampil bantu siasatan kes rogol

Mangsa perlu tampil untuk membantu siasatan polis berhubung dakwaan rogol terhadap beberapa wanita oleh seorang pengajar tarian di Kuala Lumpur, kata Timbalan Menteri, Hannah Yeoh.

Beliau berkata selepas beberapa bulan sejak kejadian itu berlaku, maklumat daripada mangsa lain yang berkaitan dengan kes itu boleh membantu siasatan bagi mengumpulkan lebih banyak bukti.

"Untuk kes ini, polis beritahu saya yang mereka masih siasat.

"Saya menyeru kepada mangsa lain untuk bercakap dengan polis dan membantu siasatan jika mereka mempunyai apa-apa maklumat," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata dalam kes-kes sebelum ini, tindakan boleh diambil selepas mangsa tampil.

"Itulah yang berlaku dalam kes gangguan seksual di Hospital Sungai Buloh," katanya, merujuk kepada pemecatan seorang pakar di hospital berkenaan selepas siasatan dalaman dijalankan.

Pada Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan beberapa wanita mendakwa pengajar tarian mereka, yang merupakan seorang pengajar terkemuka di Lembah Klang, merogol dan mencabul kehormatan mereka dalam dua kejadian berasingan pada tahun 2017 dan 2019.

Laporan polis oleh wanita-wanita berkenaan dibuat pada Ogos, seminggu selepas kejadian kedua berlaku, yang menyebabkan penahanan individu berkenaan.

Mangsa dalam kejadian yang berlaku pada 2017 memberitahu polis mereka mengambil keputusan melaporkan kes rogol dan cabul itu dua tahun kemudian, selepas mengetahui lelaki itu merogol wanita lain.

Difahamkan tiada pendakwaan berhubung kejadian yang berlaku pada tahun 2017.

Antara lain, polis memberitahu mangsa berdasarkan trankskrip perbualan di WhatsApp antara mereka dan tertuduh selepas kejadian itu, menunjukkan hubungan yang masih mesra dan seks mungkin dilakukan secara rela.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku pada tahun 2019 masih dalam siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS