Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, kini tidak lagi boleh mengadakan sebarang program membabitkan jawatannya sebagai naib presiden PKR sehingga proses siasatan ke atasnya selesai.
Menurut seorang lagi naib presiden parti itu, Chang Lih Kang, Biro Politik PKR hari ini meluluskan permohonan Zuraida untuk bercuti daripada jawatannya di peringkat pusat.
Kata Chang, keputusan menerima permohonan bercuti daripada jawatan naib presiden parti itu diterima sebulan suara.
Chang yang juga ahli parlimen Tanjung Malim memberitahu dengan status Zuraida yang berucuti daripada jawatan naib presiden, beliau tidak dibenarkan membuat sebarang program di mana-mana cabang atau ranting.
Bagaimanapun, kata Chang yang dipetik BH Online, ahli parlimen Ampang itu masih boleh menjalankan tugasnya atas kapasiti jawatan lain dalam parti.
Zuraida - yang diadukan kepada Lembaga Disiplin PKR - memohon untuk bercuti daripada jawatannya sebagai naib presiden tiga hari lalu namun hanya diumum pegawainya semalam.
Langkah bercuti itu diambil sehinggalah proses siasatan berhubung tuduhan salah lakunya diselesaikan.
Bagaimanapun, kata pegawai terbabit, ia tidak akan menjejaskan kedudukan dan tugas Zuraida sebagai anggota kabinet.