Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Bekas perdana menteri, Najib Razak, menyatakan di mahkamah bahawa beliau tidak mahu menerima derma daripada orang tempatan kerana enggan terikat atau terhutang budi.

Justeru mengikut keterangannya di mahkamah, beliau rasa adalah lebih baik untuknya menerima derma daripada orang asing seperti dari kerabat bangsawan Arab Saudi.

Sebenarnya implikasi yang lebih dahsyat mungkin sudah berlaku apabilla Najib menerima "derma" dari Arab Saudi tersebut.

Sebelum ini - sebelum PRU14 - saya telah bertanya berkali-kali di parlimen: Kenapa Malaysia - negara tunggal dari Asia - terlibat dengan latihan perang Northern Thunder di Arab Saudi?

Bagaimanapun soalan-soalan saya itu tidak dijawab secara munasabah.

Saya juga menyoal berkali-kali, kenapa Malaysia terlibat dan bersubahat dalam pakatan antarabangsa membabitkan Arab Saudi dan kuasa besar dari Barat dalam perang di Yaman?

Sekali lagi tiada jawaban munasabah diberikan.

Barangkali kerana terhutang budi itulah maka tentera Malaysia secara senyap-senyap bergiat bersama Arab Saudi, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis dalam perang Yaman.

Maruah boleh tergadai

Beribu-ribu rakyat Yaman yang tidak berdosa - yang tua, yang muda, anak-anak kecil - terbunuh akibat serangan tentera Arab Saudi dan sekutunya itu.

Tidak ada sebab dan lojik lain kenapa Malaysia perlu terlibat dalam pakatan berkenaan, seperti disebut dalam laporan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kenapakah kerajaan Najib bersungguh-sungguh sangat menyertai Arab Saudi menyerang Yaman kalau tidak ada udang di sebalik batu?

Sikap tidak mahu terhutang budi kepada sesiapa dalam negara memang baik. Tetapi apabila Najib menerima beratus juta dolar AS "derma" dari negara asing - iaitu Arab Saudi - semasa beliau adalah perdana menteri Malaysia, itu adalah langkah amat bahaya.

Kenapa tentera Malaysia membantu Arab Saudi dalam perang dengan Yaman, iaitu sebuah negara yang tidak ada kena-mengena dengan hal ehwal Malaysia?

Sehingga hari ini masih tidak ada jawaban!

Kenyataan Najib di mahkamah itu menggambarkan betapa maruah serta keselamatan Malaysia mungkin tergadai dengan mudah.

Ini bukanlah perbuatan seorang pemimpin negara yang bertanggungjawab, sebaliknya seorang ahli politik yang hanya memikirkan kepentingan parti dan dirinya sendiri sahaja, sementara negara didedahkan kepada risiko tinggi serta tergadai maruahnya.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, merangkap timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS