Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Judi: 34 warga China didenda RM2,300 setiap seorang

Mahkamah Majistret di Seremban menjatuhi hukuman denda RM2,300 setiap seorang ke atas 34 warga China selepas mereka mengaku bersalah berjudi di sebuah rumah perjudian terbuka pada Januari lepas.

Majistret Mahyun Yusof dan Majistret V. Vanita, yang masing-masing mendengar pertuduhan ke atas 22 dan 12 warga China itu, turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara empat dan lima bulan jika gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh yang berumur 25 hingga 32 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di dua rumah perjudian terbuka di Aviva Green, Seremban pada 4.30 petang 23 Jan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqah Mahroob dan Jiwan Kaur Malkith Singh manakala peguam Jacky Loi Yap Loong dan Aminathul Marrdiah Md Nor mewakili 22 tertuduh dan Lim Chi Chan dan P. G Cyril mewakili 12 yang lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS