Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan beberapa pertubuhan pejuang bahasa Melayu hari ini tampil menentang cadangan pelaksanaan semua dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Prof Wan Ramli Wan Daud, berkata kajian menunjukkan dasar tersebut sebelum ini gagal seperti yang dibuktikan melalui data dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa).

"Prestasi murid Malaysia dalam TIMSS berada di atas purata dunia pada 1999 dan 2003, tetapi menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia pada 2007, 2011 dan 2015.

"Prestasi 2015 naik sedikit kerana PPSMI sudah dimansuhkan pada 2012.

"Kami dengan ini menggesa perdana menteri membatalkan rancangan melaksanakan PPSMI dan Progrm Dwibahasa (DLP) dengan serta-merta, sebaliknya menggantikan ia dengan sistem pengajaran bahasa Inggeris yang lebih baik dari sekarang," katanya pada sidang media GMP di di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Sasterawan Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail.

Kata Wan Ramli, keadaan yang lebih kurang sama berlaku pada pelaksanaan DLP yang diilhamkan kerajaan BN selepas PPSMI dimansuhkan.

Tak patut bebankan pelajar

Untuk rekod, pada 2016 GMP lantang bersuara menentang DLP kerana dilihat bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi.

Sidang media yang dihadiri oleh 11 NGO itu turut menyaksikan gimik mengoyakkan kertas membantah PPSMI di akhir sesi sidang media itu, sambil melaungkan "Bantah PPSMI."

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, hari ini bahawa pelaksanaan PPSMI masih belum diputuskan, Wan Ramli berkata respons sedemikian tidak mengejutkan bagi mereka.

Mahathir yang juga pemangku menteri pendidikan berkata dasar tersebut masih belum diputuskan dan sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan pendapat majoriti anggota kabinet.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Stanley Yong, pula berkata pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di sekolah akan lebih memudahkan kedua-dua belah pihak, iaitu guru dan pelajar.

"Kita boleh dapat pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah (jika ingin menguasainya).

"Kita tak patut membebankan pelajar dengan menguasai bahasa Inggeris (di dalam subjek lain)," katanya.

Naib Presiden Yayasan Tamil, Supramaniam Tamasamy, turut senada dengan Yong.

"Kami menyeru kerajaan untuk meninggikan taraf pengajaran bahasa Inggeris dan latih guru-guru yang berkualiti untuk tinggikan mutu bahasa Inggeris," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS