Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Simpanan Tabung Haji warga emas lesap akibat Macau Scam

Seorang warga emas mendakwa kehilangan wang simpanan Tabung Haji bersama simpanan di akuan peribadi berjumlah RM81,758, selepas diperdayakan sindiket Macau Scam, sejak Dis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berumur 66 tahun itu juga mendakwa telah menggadaikan barangan kemas miliknya bernilai RM7,450 kerana menuruti arahan seorang lelaki yang mengaku sebagai 'pegawai polis'.

Beliau berkata dalam kejadian 2 Dis lepas, seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan memberitahu kononnya warga emas itu dikaitkan dengan penggubahan wang haram, dan perlu memindahkan wang simpanan Tabung Hajinya dan juga wang tambahan ke satu akaun bank bagi tujuan siasatan Bank Negara.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Kuantan hari ini Mohd Wazir berkata warga emas itu hanya menyedari dia ditipu selepas mendapati wang simpanannya lesap, apabila semakan yang dibuat di bank petang semalam mendapati baki akaunnya hanya tinggal RM63.

Sehubungan itu, wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera dekat sini, dan Mohd Wazir berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS