Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini tampil menjelaskan kekesalannya selepas didakwa angkuh oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kerana menolak cek tertangguh.
“Saya sedih sebab saya dituduh angkuh kerana menolak cek itu... saya bukan menolaknya dalam sifat angkuh, oleh kerana masa yang kita beri itu sudah sekian lama dan keputusan di mahkamah pun juga sudah sangat lama.
“Sebelum membuat tindakan mahkamah saya sudah bagi dia peluang untuk memohon maaf tetapi tidak juga diambil tindakan dan tidak ada juga usaha untuk berbincang di luar mahkamah,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online, di Ipoh, hari ini.
Semalam, Razman yang juga Adun Gunong Semanggol itu menyifatkan penolakan Mohammad Nizar sebagai menunjukkan sikap angkuh pemimpin Amanah.
Katanya, bekas pemimpin PAS itu terlampau angkuh, tak ada sikap bertolak ansur langsung sedangkan cek yang diberinya itu cuma tertangguh selama lima hari.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Mohammad Nizar akan mengambil tindakan segera bagi mengisytiharkan Razman Zakaria, sebagai individu muflis kerana gagal membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah.
Sehari selepas itu, Razman menghantar sekeping cek sebanyak RM254,150 tetapi tidak diterima oleh Mohammad Nizar kerana berstatus cek tertangguh bertarikh 10 Februari 2020.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizar juga dipetik sebagai berkata, jika Razman tidak mahu didakwa menghina mahkamah, bekas Bendahari PAS Pusat itu sewajarnya akur dan mengambil tindakan seperti diputuskan mahkamah.
“Tetapi dia nampak seolah-olah mempermainkan (keputusan mahkamah)... bagi ‘post dated cheque’, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam masa lima hari itu, itu bukanlah menunjukkan saya angkuh,” katanya.
Ditanya tindakan susulan, Mohammad Nizar berkata beliau akan berbincang dengan peguam sama ada mahu meneruskan prosiding atau tidak bagi mengisytiharkan Razman sebagai individu muflis.
Razman berdepan tindakan bankrap berikutan gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum itu pada November 2019 lalu.
Razman sebelum ini didapati bersalah memfitnah Mohammad Nizar dalam satu artikel yang diterbitkan sebuah akhbar bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk ‘Pendekatan Nizar Mirip DAP’.