Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan SPRM terhadap doktor satu intimidasi, kata peguam Rosmah

KES ROSMAH | Peguam Jagjit Singh mengkritik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap doktor yang mengesahkan anak guamnya, Rosmah Mansor tidak sihat untuk hadir ke perbicaraan di mahkamah semalam.

"Ini satu intimdasi!" dia meninggikan suara ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

"Siapa beri arahan itu? Ini tak patut dibenarkan," katanya lagi.

Ketua DPP Gopal Sri Ram kemudian menjawab, SPRM hanya mahu mengesahkan ketulenan laporan perubatan dan doktor tersebut boleh membuat laporan polis jika merasakan dirinya terancam.

Sri Ram juga meminta mahkamah tidak mencampuri perkara itu.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu hadir ke mahkamah pagi ini, di sebalik berita menyatakan dia dimasukkan ke hospital pada Isnin malam.

Dia berdepan tiga pertuduhan rasuah melibatkan ratusan juta ringgit.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berkaitan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohame Zaini Mazlan memberitahu Jagjit bahawa dia tiada kuasa berkenaan siasatan SPRM itu.

"Maafkan saya. Bukan kapasiti saya (untuk membuat pertimbangan). Jika begitu (siasatan merupakan intimidasi), individu tersebut (doktor) boleh membuat laporan polis," katanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah kemudian, Jagjit berkata pihak pembelaan tidak boleh berbuat apa-apa berkenaannya kerana mahkamah enggan menghentikan intimidasi tersebut.

"Di mana etika? Adakah ini bukan menakutkan secara jenayah? Tetapi hakim kata 'tidak'," katanya.

Terdahulu, Jagjit memberi kemas kini berkenaan keadaan kesihatan Rosmah kepada mahkamah. Dia berkata contoh darah anak guamnya akan dihantar ke Australia untuk ujian.

Jagjit juga menyuarakan rasa tidak senang dengan arahan mahkamah agar Rosmah hadir ke perbicaraan hari ini.

Katanya, kebanyakan mahkamah akan menerima dan akur dengan sijil sakit yang diberikan apabila tertuduh tidak sihat atau tidak dapat hadir.

"Tetapi Yang Arif mengarahkannya untuk hadir walau dengan keadaannya, dia datang dari hospital," katanya lagi.

Katanya, Rosmah perlu menandatangani satu dokumen di hospital untuk menyatakan dia berbuat demikian atas risiko sendiri. Selepas prosiding, dia akan kembali ke hosptial.

Ditanya sama ada Rosmah boleh hadir ke mahkamah esok, Jagjit berkata: Dengan izin Tuhan.

Ketika perbicaraan Isnin lalu, Jagjit menunjukkan laporan perubatan yang menyatakan Rosmah mengalami cervical spondylosis, osteoarthritis di kedua-dua lutut dan kekurangan adrenal kronik (chronic adrenal insufficiency).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS