Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Dzul: Kanak-kanak pulih dari koronavirus tak diberi ubat khas

Kanak-kanak berusia empat tahun yang pulih daripada jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV) semalam tidak diberikan sebarang ubat khas.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata virus tersebut bersifat had diri (self-limiting) dan pada satu tempoh akan diatasi oleh sistem imun yang sihat.

Justeru, katanya, rawatan untuk pesakit koronavirus hanya untuk meringankan simptom.

"Kita tak guna sebarang ubat lain (seperti) ubat HIV dan sebagainya," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Kanak-kanak warga China itu disahkan positif koronavirus pada 29 Januari, dan dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.

Dia dibenarkan keluar setelah ujian pengesanan yang dijalankan sebanyak dua kali menunjukkan keputusan negatif.

Dzulkefly berkata kedutaan China di Malaysia sedang mengaturkan untuknya dan keluarga pulang ke negara itu.

Doktor di Thailand, Amerika Syarikat dan negara lain kini sedang bereksperimen antaranya dengan ubat anti-HIV untuk memulihkan pesakit yang dijangkiti 2019-nCoV.

Setakat ini, virus itu telah mengorbankan 492 nyawa dengan hampir 24,000 orang dijangkitinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS