Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah: Adakah saya punya pilihan?
Diterbitkan:  Feb 5, 2020 12:24 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

KES ROSMAH | Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini walaupun Isnin lalu beliau dilaporkan mengalami sakit belakang dan tengkuk dan dimasukkan ke hospital.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu berbaju kurung dan berselendang warna hijau tiba di mahkamah pada 9.53 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam.

Beliau yang kelihatan lemah dan tidak bermaya, berjalan dengan perlahan sambil ditemani beberapa pembantu dan juga peguamnya bagi perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya, memasuki kandang tertuduh.

Ketika dihampiri, Rosmah berkata beliau tidak mempunyai pilihan.

"Adakah saya ada pilihan?"

'Tag hospital' swasta masih terikat pada pergelangan tangan kanannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan  berkata mahkamah bersimpati dengan Rosmah atas keadaan kesihatannya dan membenarkan penangguhan selama dua hari lagi.

Selain itu, katanya, Rosmah akan dibenarkan duduk di kerusi roda semasa perbicaraan dan akan diberi waktu rehat sebanyak mungkin jika dia tidak berasa sihat.

Hari pertama perbicaraan rasuah Rosmah yang ditunggu-tunggu dijadualkan bermula pada Isnin lepas bagaimanapun terpaksa ditangguhkan hari ini selepas beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan diberikan sijil cuti sakit sehingga 8 Feb.

Peguamnya, Jagjit Singh memberitahu hakim Mohamed Zaini bahawa penyakit yang dihidapi anak guamnya itu boleh mengancam nyawa.

Apabila hakim bertanya di mana beliau mendapat maklumat ini, peguam itu menjawab dia telah melakukan carian Google.

Jagjit kemudian menyerahkan kepada mahkamah cetakan cariannya yang menyatakan bahawa "krisis Addison atau krisis adrenal adalah satu keadaan yang mengancam nyawa yang disebabkan oleh kekurangan hormon adrenal yang akut dan memerlukan rawatan segera."

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bermula hari ini.

Berdasarkan laporan perubatan hospital swasta, yang dibacakan di dalam mahkamah, hari ini, Rosmah mengalami sakit leher teruk yang berulang-ulang dengan radikulopati anggota atas kiri dan beliau juga mengadu pening ketika berbaring dalam posisi salah.

Pada 15 November 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak menerusi bekas pembantunya iaitu Rizal Mansor.

Walau bagaimanapun, isteri Najib itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS