Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hasil ujian negatif, kanak-kanak warga China dijangkiti koronavirus dibenar pulang
Diterbitkan:  Feb 4, 2020 11:31 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Seorang kanak-kanak perempuan warga China yang dilaporkan positif jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) kini sihat dan dibenarkan pulang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, ia selepas ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya sebanyak dua kali menunjukkan keputusan negatif.

"Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kanak-kanak berusia empat tahun itu dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi pada 29 Januari lalu, selepas didapati positif jangkitan 2019-nCoV.

Ia merupakan satu daripada 10 kes positif virus itu di Malaysia, dengan sembilan daripadanya adalah warga China.

Kanak-kanak berusia empat tahun ini merupakan kes positif pertama yang berjaya dirawat di Malaysia.

Noor Hisham berkata, sample klinikal diambil sebanyak dua kali berturut-turut sepanjang tempoh rawatan dan pemantauan kanak-kanak itu.

"Kes ini menunjukkan jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di China.

"Kementerian ingin mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha Langkawi yang telah memberikan rawatan dan pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak ini sihat semula dan dibenarkan pulang," katanya lagi.

Sementara itu Kedutaan China di Malaysia berkata kanak-kanak itu dan keluarganya akan pulang ke China tak lama lagi.

"Keluarga akan kembali ke China selepas menerima sijil kesihatan daripada hospital," kata jurucakap kedutaan, Tang Tang dalam kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS