Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parti Jho Low: Saya lega tak dijemput - Najib
Diterbitkan:  Feb 4, 2020 6:34 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak yang memberi keterangannya hari ini memberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low mendapat manfaat daripada 1MDB dan entiti yang berkaitan.

Najib berkata perbicaraan itu setakat ini telah membuktikan bahawa Jho Low telah memperoleh RM500 juta daripada bon 1MDB dengan bantuan bank.

"Seperti yang kamu tahu, dia menjalani gaya hidup mewah, parti-parti yang mewah, saya tidak pernah dijemput dan saya lega kerana saya tidak dijemput," katanya.

Beliau berkata demikian susulan daripada pemeriksaan balas dari peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, yang bertanya mengapa seorang “penipu" memasukkan wang di dalam akaun bank tertuduh.

Apabila Shafee meminta Najib sama ada pihaknya mempunyai bahagian dalam aset yang diperoleh Jho Low, Najib menjawab tidak.

Najib kemudian membuat spekulasi bahawa Jho Low mengatur "sumbangan" untuk disimpan dalam akaunnya untuk mengekalkan hubungan baik.

"Dengan jumlah wang yang sangat besar, dia mesti berfikir yang jika dia tidak pastikan sumbangan tersebut masuk ke akaun saya, maka ia akan menjejaskan hubungannya dengan saya.

"Jika dia tidak teruskan (derma tersebut) saya akan curiga dengan apa yang dia lakukan dan akan mula bertanya.

"Ini bermakna, apa yang dia lakukan akan diketahui atau paling tidak saya tidak akan lagi percaya terhadapnya (ketika) dia mendapat manfaat daripada hubungannya dengan saya," katanya.

Najib berkata RM42 juta yang dituduh diterima adalah “jumlah kecil” berbanding wang yang diperoleh oleh Jho Low.

Susulan daripada itu, Shafee bertanya kepada Najib bila beliau menyedari bahawa dirinya sedang “diperdaya” oleh Jho Low, tertuduh berkata ia berlaku hanya selepas siasatan bermula.

"Saya mula rasa ragu-ragu ketika saya mendengar bukti (dibuat kepada) SPRM dan kemudiannya apabila ia menjadi isu antarabangsa.

"Kemudian saya sedar yang dia melakukan banyak perkara yang saya tidak tahu," katanya.

Berdasarkan jawapan Najib, ini akan melihatkan tempoh masa sekitar 2015. Pada bulan Julai tahun itu, Najib memecat Abdul Gani Patail sebagai peguam negara.

Setakat ini, perbicaraan mendedahkan Jho Low telah menikmati pelbagai akses melalui Najib.

Sebagai contoh, Jho Low mengarahkan bekas pengarah urusan kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang ke rumah Najib pada Januari 2011 supaya Najib menandatangani dokumen bagi membuka akaun bank.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS