Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan selindung kes dadah adun Bersatu - Apa kata peguam?

Hampir sebulan berlalu sejak polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan Puchong, Petaling Jaya di mana seorang adun Bersatu antara yang ditahan kerana disyaki menyalahgunakan dadah.

Sejak itu ada pihak mendakwa pihak berkuasa cuba "menutup sesuatu" berhubung kes itu.

Polis menyangkal dakwaan itu dan menyatakan ujian patologi untuk kes seumpama itu memang boleh mengambil masa beberapa bulan.

Peguam yang pernah mengendalikan kes seperti itu yang dihubungi Malaysiakini setuju dengan kenyataan itu.

Presiden Badan Peguam Malaysia Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata garis masa normal antara tarikh tangkapan dan pendakwaan di mahkamah adalah satu atau dua bulan, bergantung kepada daerah.

Katanya, ini kerana polis perlu menunggu laporan patologi yang memakan sedikit masa sebelum menghantar kertas siasatan kepada pengarah pendakwaan negeri yang akan memutuskan untuk membuat pendakwaan atau tidak.

Laporan itu, termasuk laporan patologi, diperlukan timbalan pendakwa raya membuat keputusan itu, katanya lagi.

Peguam jenayah senior S Selvam pula berkata sudah menjadi kelaziman polis untuk menunggu sehingga tiga bulan untuk laporan patologi.

"Sebaik (suspek) ditahan dan didapati positif dadah terlarang, (dia) akan dibebaskan dengan ikat jamin polis," katanya.

Katanya lagi, polis kemudian akan menunggu laporan patologi sebelum menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya.

Bagaimanapun, katanya lagi, situasi berebza untuk kes pemilikan dadah terlarang kerana polis tidak memerlukan masa lama untuk menyiasatnya.

Untuk kes itu, beliau berkata polis memerlukan laporan pakar kimia untuk mengesahkan dadah tersebut sebelum melengkapkan kertas siasatan dan menghantarnya kepada timbalan pendakwa raya.

"Jika mereka ditangkap dengan bahan terlarang dan tidak didakwa, maka itu satu penutupan (cover-up)," katanya lagi.

Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah dan empat pegawai khas politik antara 17 yang ditahan dalam serbuan pada 12 Januari lalu.

Ujian air kencing mendapati 16 daripadanya positif dadah.

Laporan The Star yang memetik sumber berkata polis menemui bahan serbuk yang dipercayai adalah dadah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS