Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakistan berterima kasih Malaysia bersuara isu Kashmir
Diterbitkan:  Feb 4, 2020 3:04 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengucapkan terima kasih buat Dr Mahathir Mohamad kerana bersuara tentang isu Kashmir.

Imran meluahkan penghargaan itu sebaik sahaja tiba gilirannya bercakap dalam satu sidang media bersama perdana menteri Malaysia di Putrajaya hari ini.

“Saya mahu berterima kasih kepada perdana menteri (Mahathir) - (terhadap) caranya bercakap tentang apa yang dilalui oleh rakyat Kashmir sekarang ini.

“Malang sekali, satu kerajaan yang sangat radikal dan ekstrem telah ambil alih (pemerintahan) India dan kini memenjarakan rakyat Kashmir selama enam bulan.

“Ia merampas segala kebebasan, memenjarakan kepemimpinannya, menangkap remaja dan turut memenjarakan mereka, atau mereka (remaja) hilang.

“Dalam perkara ini, cara perdana menteri - kamu (Mahathir) - berdiri bersama-sama kami dan bercakap tentang ketidakadilan yang berlaku, bagi mewakili rakyat Pakistan, saya betul-betul mahu berterima kasih,” katanya.

Sawit mentah, gambar hiasan

Mahathir menyentuh tentang konflik Jammu dan Kashmir dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, dengan membangkitkan bagaimana kedua-dua daerah itu diceroboh meskipun telah wujud resolusi PBB tentangnya.

“Masalahnya mesti diselesaikan dengan cara yang aman. India patut bekerja dengan Pakistan untuk menyelesaikan masalah ini. Mengabaikan PBB akan membawa kepada sikap tidak endah kepada PBB serta kedaulatan undang-undang dalam bentuk yang lain pula,” kata Mahathir.

Meskipun Mahathir tidak terang-terangan menyebelahi Pakistan atau India, ucapannya itu dianggap kritikal terhadap New Delhi.

Ini menyebabkan India mengancam untuk memboikot minyak sawit Malaysia.

Bagaimanapun, Pakistan berkata akan melakukan apa yang termampu untuk membeli minyak sawit Malaysia bagi mengimbangi kerugian dialami negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS