Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tak kata Sajat tak boleh dikecam atau kritik - Mufti Perlis
Diterbitkan:  Feb 4, 2020 9:56 AM
Dikemaskini: 1:56 AM

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin menyanggah laporan media berhubung kenyataannya membabitkan usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzaman atau Nur Sajat, yang memakai pakaian menyerupai wanita ketika menjalani ibadah umrah di Mekah.

Menurut Mohd Asri, apa yang beliau perkatakan adalah Islam melarang perbuatan tetapi bukan melaknat individu secara mutlak.

"Banyak media seperti (Astro) Awani, Malaysiakini, (Harian) Metro dan sewaktu dengannya membuat ayat sendiri berhubung dengan kenyataan saya tentang lelaki yang bernama Sajat.

"Saya tidak kata beliau tidak boleh dikecam atau dikritik.

"Saya kata jangan malaknat beliau secara peribadi. Islam melaknat perbuatan tapi tidak melaknat individu secara mutlak melainkan mereka yang pasti dilaknat secara khusus seperti Iblis dan Firaun," katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Malaysiakini semalam menyiarkan laporan Bernama berhubung kenyataan Mohd Asri membabitkan isu jutawan kosmetik berkenaan.

Mohd Asri dilapor berkata beliau terkilan dengan tindakan orang ramai terus menghukum dan mengatakan bahawa Sajat dilaknat Allah, dan ia merupakan satu tindakan yang tidak tepat dari segi agama.

“Kita perlu nasihat beliau (Sajat) secara baik. Cuma saya tidak bersetuju orang ramai mengatakan bahawa beliau dilaknat Allah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di Kangar.

'Isu lekeh untuk promosi diri, produk'

Menurut Mohd Asri, perbuatan menghebohkan tindakan Sajat memakai telekung di Tanah Suci hanya akan menjadi promosi percuma kepada diri dan produknya.

"Padahal, satu isu lekeh yang dilakukan untuk mempromosikan diri.

"Akhirnya, banyak pondan dan darai dalam negara kita yang kita biarkan," katanya.

Sebaliknya kata Mohd Asri, menerusi media, aksi-aksi Lesbian, Gay dan Transgender (LGBT) pula 'diraikan' di tanah air. 

"Bahkan kita raikan aksi-aksi mereka dalam filem dan karya. Tiba-tiba sahaja kita bising setelah dia pakai telekung di Mekah. Kita patut bantah sejak di Malaysia lagi!" katanya.

"Kerajaan patut mengharamkan aksi-aksi LGBT dalam media di negara kita.

"Itu yang patut kita gesa. Apapun, mereka semua dan kita memerlukan doa hidayah agar ditunjukkan jalan yang Allah redai," katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof, menyifatkan tindakan personaliti kontroversi itu bertelekung semasa mengerjakan umrah sebagai mencemar imej Islam.

Mujahid berkata dakwaan status khunsa Sajat juga tidak disokong melalui bukti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS