KEMASKINI 4.50PM | Rosmah Mansor tidak dapat hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk hari pertama perbicaraan kes rasuahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Peguamnya Jagjit Singh berkata, isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu tidak sihat.
"Tertuduh tidak sihat. Kami telah serahkan salinan laporan kesihatan bertarikh 2 Februari kepada Yang Arif," katanya kepada hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Rosmah didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan juta ringgit berkaitan projek membekal dan memasang tenaga solar di 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.
Dia turut meminta agar perincian laporan perubatan Rosmah tidak dibacakan di mahkamah kerana ia mungkin “memalukan” anak guamnya.
Bagaimanapun ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram berkata pihaknya tidak menerima laporan itu dan seterusnya membacakan sebahagian daripada laporan yang diberikan kepadanya.
“Dia (Rosmah) mengadu pening-pening apabila berbaring dalam posisi yang salah. Saya pun mengalami masalah sama.
“Dia diketahui mengalami cervical spondylosis dan osteoarthritis di lutut sejak lima tahun ini. Saya pun ada kedua-duanya,” kata Sri Ram.
Sri Ram kemudian memberikan diagnosisnya sendiri berkenaan keadaan Rosmah: "Satu-satunya masalah yang dialaminya ialah terlebih dos publisiti dan kekayaan."
Selain cervical spondylosis dan osteoarthritis di kedua-dua lutut, laporan itu juga menyatakan Rosmah mengalami kekurangan adrenal kronik (chronic adrenal insufficiency).
Merujuk laporan itu yang menyatakan Rosmah mengalami masalah tersebut selama lima tahun, Sri Ram berkata ia sepautnya dimaklumkan kepada mahkamah dengan lebih awal.
“Kalau betul dia tak sihat, orang pasti menjangka dia telah diperiksa awal minggu lalu.
“Saya boleh terima kalau kami diberi notis awal kerana dia sudah mengalami masalah ini untuk lima tahun, bermaksud dia pun mesti ada mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
'Lebih mungkin hadir jika dipenjara'
Dia turut membangkitkan bahawa laporan perubatan dan sijil sakit yang diberikan kepada mahkamah ditandatangani oleh doktor swasta sedangkan, katanya lagi, mahkamah hanya boleh menerima sijil sakit daripada doktor kerajaan.
Menurut Sri Ram, memandangkan ia bukanlah sebab yang sah untuk Rosmah tidak hadir, ikat jaminnya perlu ditarik balik.
“Melainkan jika dia diperiksa oleh doktor kerajaan, kami tak boleh terima ini.
“Dan sementara itu, saya fikir ketidaksanggupannya untuk hadir ke mahkamah merupakan sebab yang cukup untuk ikat jaminnya dibatalkan dan dipenjarakan, sebab kalau dia di penjara, lebih tinggi kemungkinan untuknya hadir," katanya lagi.
Menjawab hujah itu, Jagjit meluahkan rasa terkejut dengan cadangan pembatalan ikat jamin dan pemenjaraan Rosmah yang disifatkannya sebagai “pendirian ekstrem”.
Katanya lagi, pihak pembelaan tidak dapat memberikan notis awal kerana tidak mampu menjangka bila Rosmah akan sakit.
“Ia (masalah kesihatan) yang berterusan dan ada kala ia menjadi teruk. Keadaannya semakin teruk dua hari lalu. Tak mungkin saya dapat beri notis awal,” katanya.
Jagjit turut berhujah bahawa setakat pengetahuannya, sijil sakit tidak perlu ditandatangani oleh doktor kerajaan.
Dia bagaimanapun akan akur jika ditunjukkan peruntukan undang-undang yang menyatakan perkara itu.
Hakim cadang Rosmah guna kerusi roda
Zaini berkata walaupun bersimpati dengan keadaan Rosmah, dia tidak boleh terus menangguhkan tarikh perbicaraan daripada yang sewajarnya.
“Tarikh perbicaraan saya sangat penting, saya boleh aturkan kes-kes lain.
“Saya sangat bersimpati dengan anak guam anda...Tetapi saya juga tak boleh menangguhkan (perbicaraan) lebih lama daripada yang sepatutnya,” katanya.
Oleh itu, Zaini berkata dia membenarkan perbicaraan hari ini ditangguhkan sementara esok pula dikosongkan.
Bagaimanapun dia tidak membenarkan penangguhan lanjut dan menetapkan perbicaraan akan bersambung pada Rabu ini.
Zaini turut mencadangkan kepada Jagjit agar Rosmah hadir ke mahkamah dengan kerusi roda untuk memudahkan keadaannya dan mengurangkan kesakitan.
Dia juga berkata akan menghentikan perbicaraan yang berlangsung untuk sementara, jika Rosmah memerlukan rehat.
“Boleh saya cadangkan anak guam anda datang dengan kerusi roda? Saya faham dia kena duduk atas kerusi yang keras yang mungkin tak kondusif untuk keadaannya, jadi saya akan benarkan dia datang dengan kerusi roda.
“Kalau dia perlukan rehat kerana sakit, saya akan hentikan sekejap perbicaraan,” katanya lagi.
Rosmah berdepan tiga pertuduhan rasuah melibatkan ratusan juta ringgit.
Pada 15 November 2018, dia mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta serta menerima RM1.5 juta bagi projek pembekalan tenaga solar di sekolah di pedalaman Sarawak.
Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Dia dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.
Ia merupakan dorongan bagi membantu Jepak Holdings mendapat tender secara terus daripada Kementerian Pendidikan bagi Projek Integrasi Sistem Solat Fotovoltaik Hibrid dan Penyelenggaraan, serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.
Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.
Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 -tertakluk mana lebih tinggi- jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.