Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
China catat 56 kematian terbaru akibat koronavirus
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 8:59 AM
Dikemaskini: 12:59 AM

Wilayah China di Hubei, yang menjadi pusat epidemik koronavirus, melaporkan 56 kematian terbaru akibat wabak itu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 350 kematian, lapor Reuters.

Wilayah itu juga mengesahkan 2,103 kes jangkitan terbaru pada 2 Feb, dengan jumlahnya mencecah 11,177.

Kematian pertama akibat koronavirus di luar China dilaporkan semalam melibatkan seorang lelaki warga China berusia 44 tahun dari bandar Wuhan di wilayah Hubei, yang meninggal dunia di Filipina pada Sabtu lalu.

Naib-gabenor wilayah Hubei, Xiao Juhua, berkata wabak itu masih dalam keadaan buruk dan rumit.

Sekurang-kurangnya 171 kes telah dilaporkan di lebih daripada dua belas negara dan wilayah lain, termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, Hong Kong dan Britain.

Beijing sedang menghadapi pengasingan apabila negara-negara lain mengenakan sekatan perjalanan ke negara itu, dengan syarikat penerbangan menangguhkan penerbangan dan kerajaan membawa pulang warganegara mereka.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan semalam menyatakan seramai 132 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata tertakluk kepada kelulusan kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS