Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes dadah Jalan Puchong: Polis sangkal dakwaan cuba 'tutup sesuatu'

Polis hari ini menyangkal dakwaan kononnya ada cubaan untuk “menutup sesuatu” berhubung penahanan 17 individu dalam kes berkaitan dadah di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd menegaskan polis juga tidak melengah-lengahkan siasatan kes itu.

“Secara umumnya polis bergantung kepada laporan patologi. Orang kata benda ini (siasatan) lewat, sebenarnya tidak. Ini adalah prosedur biasa, dalam kes-kes lain pun, ia sama juga. Kadang-kadang sampai tiga bulan jaraknya (siasatan).

“Jadi, saya tidak boleh jelaskan dengan lanjut, saya perlu tunggu laporan itu, kemudian barulah apa-apa keputusan akan dibuat,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata polis tidak boleh melakukan apa-apa pendakwaan berdasarkan kepada keputusan ujian saringan awal air kencing semata-mata, kerana ia perlu terlebih dahulu melepasi laporan patologi.

Beliau berkta demikian semasa ditanya mengenai status terkini siasatan mengenai laporan media pada 12 Jan lepas mengenai seorang adun yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium itu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam sidang media pada hari berikutnya mengesahkan 17 individu ditahan dalam pemeriksaan itu, dan 16 daripada mereka disahkan positif dadah, namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka kerana ia masih dalam proses siasatan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS