Berikutan penyebaran berita palsu di media sosial semakin berleluasa, sebuah NGO tampil dengan kempen "Ye Lah Tu" bagi mendidik warganet melalui penyampaian maklumat sebenar.
Mengaitkannya dengan wabak koronavirus yang melanda China, Presiden Persatuan Pengguna Prihatin (Pepa), Afiq Hanif berkata berita palsu sering disebarkan bagi mencetuskan suasana panik dan kerap dikaitkan dengan isu perkauman.
Katanya, kebanyakan warganet tidak dapat membezakan antara berita sebenar dan berita palsu, lebih-lebih lagi apabila trend berita palsu dipaparkan dengan infografik yang meyakinkan.
"Koronavirus adalah yang terbaru dan mencabar untuk kami sampaikan mesej kepada semua peringkat umur.
“Bukan (isu) koronavirus saja. Sebelum ni ada juga berita palsu oleh segelintir masyarakat yang mencetuskan panik.
“(Perbuatan ini) Dah macam hobi apabila mereka menyunting gambar dan letak gambar orang lain dengan teks berlainan.
“Jadi kami nak pastikan masyarakat faham, kalau sesuatu (insiden) tu terjadi, ia diambil dari sumber sah dan tak menjurus kepada perpecahan kaum di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Setakat semalam, wabak koronavirus mencatatkan angka kematian seramai 259 orang dengan lebih 11,000 kes disahkan di China.
Di Malaysia, setakat ini, lapan kes positif koronavirus disahkan dengan kesemuanya membabitkan warganegara China.
Menurut Afiq, Pepa didaftarkan pada Disember lalu dan mendapat bantuan Mafindo, sebuah organisasi bukan kerajaan dari Indonesia yang ditubuhkan pada 2016 untuk memberi kesedaran mengenai isu berkaitan berita palsu.
“Objektifnya satu. Kami nak banteras semua fake news yang berleluasa- terutamanya bila ada koronavirus ni.
“Tujuannya nak pastikan kita jadi penapis berita palsu. Jadi bila ada orang ramai yang merasakan dia dapat satu berita dan nak periksa kesahihannya boleh minta tolong kepada kami.
“Kami juga tengah buat kempen nak didik orang ramai macam mana nak kenal pasti berita palsu,” kata Afiq.
Meskipun terdapat laman web rasmi kerajaan dengan tujuan yang sama seperti sebenarnya.my, Afiq berkata Pepa ingin melengkapkan laman web sedia ada dan tidak terhad kepada isu politik sahaja.
Pengguna Facebook 'lebih mencabar' berbanding Twitter
Beliau berkata sikap pengguna media sosial berbeza-beza mengikut peringkat umur dan penggunaan medium seperti Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi WhatsApp.
Pengguna Instagram dan Twitter kebanyakan merupakan golongan muda dan mereka lebih mudah membezakan teks atau infografik palsu.
Jelasnya, kempen Ye Lah Tu yang dimulakan sejak awal Oktober 2019 juga lebih mudah difahami pengguna Twitter berbanding Facebook.
“Pengguna Facebook dan WhatsApp lebih berpotensi untuk sebarkan berita palsu berbanding Twitter. Kalau di Twitter, jika seseorang sebarkan berita palsu, cepat-cepat akan ada yang balas (perbetulkan).
“Pengguna WhatsApp terdiri daripada semua golongan. Kalau ikutkan trend, orang berumur (lebih mudah sebarkan berita palsu di WhatsApp).
“Instagram dan Twitter lebih kepada orang muda dan mereka masih lagi boleh membezakan teks dan grafik palsu walaupun cantik dan meyakinkan,” katanya.
Pepo terdiri daripada tujuh ahli daripada pelbagai latar belakang kaum dan kerjaya seperti media sosial, perubatan, pengurusan makanan dan minuman, kejuruteraan, kewartawanan dan perundangan.
Ia menggunakan konsep seperti Mafindo dan Snopes dari Amerika Syarikat dalam kaedah dan proses pensahihan berita.
Baru-baru ini, polis dan SKMM menjalankan operasi berasingan bagi menyiasat beberapa pihak yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung penularan wabak koronavirus.
Antaranya, ia melibatkan penahanan beberapa individu untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran berita palsu melalui kumpulan sembang WhatsApp serta akaun media sosial seperti Facebook dan Twitter.
Kempen Ye Lah Tu boleh dilawati melalui Facebook (Ye Lah Tu?), Instagram dan Twitter (yelahtu_my).