mk-logo
Berita
Polis tahan 2 individu disyaki dalang insiden 'kepung' Syed Saddiq
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 9:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Polis menahan dua individu yang dipercayai "dalang" di sebalik kekecohan ketika program yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Johor malam tadi.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata usaha sedang dijalankan untuk mencari individu lain yang terlibat.

Syed Saddiq dan keluarganya menghadiri satu majlis perjumpaan di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor malam tadi, bersama-sama ahli dari sayap Pemuda, wanita dan bahagian Bersatu serta ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, sekumpulan kira-kira 200 orang kemudian menyerbu majlis itu dan mengepung beliau sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, kumpulan itu boleh didengar menjerit agar anggota parlimen Muar itu meninggalkan Johor.

Abdul Hamid berkata, pihak polis memandang serius insiden berkenaan dan sedang menyiasat kes itu di bawah Kanun Keseksaan.

"Saya menyeru semua pihak agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak dalam apa jua cara yang boleh menimbulkan provokasi sehingga tercetusnya ketidaktenteraman awam.

"Orang ramai juga diseru untuk tidak mempolitikkan insiden ini dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial bagi mengelakkan tercetusnya ketidaktenteraman awam di dalam negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS