Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak larang kemasukan warga China serta-merta
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 6:18 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menyekat kemasukan warganegara China ke negeri itu berkuatkuasa serta-merta berikutan penularan wabak Novel Koronavirus.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg pada Sabtu, lapor Astro Awani.

"Penyakit tidak hanya di Hubei, sekarang telah merebak di tempat lain di negara China.

"Bermakna kita terpaksa membuat keputusan seperti tempat lain untuk tidak membenarkan mereka untuk datang ke Sarawak ketika ini," jelas Abang Johari.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Demokratik Progresif (PDP) di Dewan Suarah Bintulu.

Setakat semalam jumlah kematian akibat wabak koronavirus di China mencecah angka 259 orang, manakala jumlah keseluruhan kes positif di seluruh republik itu adalah sebanyak 11,791 kes.

Untuk rekod sebanyak lapan kes disyaki Koronavirus dikesan di Sarawak, namun enam daripadanya disahkan negatif manakala dua lagi masih tunggu laporan ujian makmal.

Semalam kerajaan Sabah mengumumkan penggantungan 117 penerbangan seminggu dari 15 bandar raya di China dan Taiwan ke negeri itu buat sementara waktu.

Di peringkat persekutuan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tiada keputusan setakat ini dibuat bagi menyekat penerbangan dari China ke Malaysia di sebalik langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar darurat kesihatan global pada Khamis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS