Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tubuh pasukan siasat provokasi di program Syed Saddiq
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan pada perjumpaan Armada Bersatu Johor di Ulu Tiram, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan berkata kes itu akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

“Pada 31 Jan 2020 antara pukul 9.00 malam dan 11.30 malam, di tapak perkhemahan hutan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, satu program Rapat Umum Armada Johor dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah diadakan.

“Pihak polis Johor telah menerima laporan yang menyatakan bahawa semasa program berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian t-shirt berwarna hitam dianggar 100 hingga 150 orang, telah memasuki kawasan di mana program itu diadakan.

“Kumpulan itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian, akan tetapi pihak polis telah berjaya mengawal keadaan di tempat kejadian secara profesional tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya menerusi kenyataan berkenaan hari ini.

Menurut Mohd Kamarudin, hasil siasatan awal polis mendapati, kumpulan pemuda yang hadir itu dengan sengaja menimbulkan kekecohan dengan melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsurkan ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian.

Katanya sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 153/355/357/506 Kanun Keseksaan untuk menyiasat insiden berkenaan dan pihak polis Johor akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Mohd Kamarudin berkata Seksyen 153 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan jahat atau buasnya mendatangkan bangkitan marah kepada seseorang yang mungkin menyebabkan rusuhan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya Seksyen 355 Kanun Keseksaan pula merujuk kepada perbuatan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan seseorang, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Seksyen 357 Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah untuk cubaan mengurung orang secara salah, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan seseorang secara jenayah, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

“Pihak polis juga menegaskan orang ramai untuk tidak mempolitikkan isu ini dan menyebar sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform sosial media yang boleh mencetuskkan sebarang masalah,” katanya lagi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS